Utamakan agenda nasional

A
A
A

DI mana-mana sahaja masih berbicara mengenai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Pada masa yang sama, ramai yang berdebar dan menanti-nanti apakah pembaharuan serta perubahan yang akan dibawa oleh Muhyiddin dalam era politik yang masih bergelora ini.

Rakyat terus menaruh harapan agar Perdana Menteri meneruskan agenda dan dasar kerajaan sebelum ini selagi ia diyakini memberi impak dan berorentasikan rakyat atau beliau mempunyai acuan dan pendekatan tersendiri bagi mengemudi Malaysia. Pengalaman luasnya diyakini mampu membawa anjakan baharu demi rakyat.

Muhyiddin tidak boleh memimpin bersendirian. Barisan kepimpinan yang dirangka perlu berkongsi visi dan misi yang sama dan serasi. Kekuatan kepimpinan dan pentadbiran bergantung kepada sejauh mana setiap individu memainkan peranan bagi menjayakan setiap perancangan serta strategi pembangunan yang telah direncanakan.

Harapan menggunung sudah tentu agar tidak akan wujud lagi drama politik yang menyaksikan peralihan kuasa dan pertukaran kepimpinan.

Rakyat dapat menyaksi dan menghakimi sejauh mana ahi-ahli Parlimen berfikir dan memilih. Semuanya mempunyai asas tersendiri. Berdasarkan asas dan prinsip, kadangkala lari daripada matlamat asal perjuangan. Itulah dikatakan 'berpolitik’.

Namun, perlu diingat bahawa ahli Parlimen dilantik oleh rakyat dalam proses demokrasi. Rakyat dapat menilai dan memastikan kelangsungan kepimpinan melalui undi. Maka, rakyat berhak di pentas demokrasi dengan menerima nikmat perkhidmatan dan pembangunan yang berterusan.

Apapun keputusan sudah dimuktamadkan. Perdana Menteri telah dilantik dan direstu oleh Yang di-Pertuan Agong. Sewajarnya tidak timbul lagi persoalan dan pertikaian sebab rakyat mahukan keamanan serta kedamaian.

Artikel Berkaitan:

Inilah peluang untuk setiap ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menabur bakti dan mencurahkan perkhidmatan. Inilah masanya untuk membuktikan keyakinan dan kepercayaan yang telah diberi. Semuanya berpaksikan permuafakatan dan toleransi.Kepimpinan dan barisan Kabinet baharu mesti mengutamakan agenda nasional. Perpaduan negara seharusnya menjadi matlamat utama demi masyarakat yang bersatu padu. Ia penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta mengekalkan pembangunan ekonomi.

Ketenangan

Agenda nasional menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral.

Malah, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan dan kecemerlangan ekonomi menjadi misi utama. Sesiapa sahaja pemimpin perlu mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Namun, perkara utama yang perlu diselesaikan ialah barisan kepimpinan, perpaduan dan keutuhan gabungan dalam kerajaan baharu. Perlu wujudkan ketenangan dengan pelbagai pendekatan termasuk mengawal krisis dan risiko selain menyelia media.

Kerajaan baharu perlu meneruskan usaha dan dasar yang disenangi rakyat kerana ia tempoh yang mencabar untuk mereka membuktikan kepimpinan lebih baik berbanding sebelum ini.

Pendekatan lebih berfokus perlu direncanakan khususnya mengurangkan kos sara hidup, inisiatif golongan B40 dan menstabilkan harga komoditi selain merancang pembangunan menyeluruh bagi Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Pada masa yang sama, perubahan pentadbiran dan politik berlaku di beberapa negeri. Hubungan di antara Perdana Menteri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri mestilah diperkuatkan demi mengutamakan kesejahteraan dan kebaikan rakyat.

Sokongan daripada parti utama negeri berkenaan perlu dibalas dalam bentuk pembangunan mampan. Kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri juga perlu diperkukuhkan demi rakyat serta negara.

Rakyat juga perlu diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu di media sosial berhubung situasi ketidaktentuan politik negara kini. Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri menjejaskan ketenteraman awam di Malaysia.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)