Ujian sebenar sistem Persekutuan

SHAH ALAM - Kebangkitan ekonomi Sarawak boleh membuka ruang kepada tuntutan autonomi yang lebih kritikal, sekali gus menjadi ujian besar kepada keanjalan sistem Persekutuan Malaysia.
Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kebimbangan bahawa Sarawak bakal menuntut hak-hak yang lebih meluas adalah berasas.
Menurutnya, ia berdasarkan kepada asas bahawa negeri itu berada di landasan untuk menjadi yang terkaya di Malaysia hasil pengurusan sumber asli dan kukuhnya entiti ekonomi negeri seperti Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
“Berdasarkan justifikasi ekonomi dan moral yang dimiliki serta pola konsisten dalam memperjuangkan hak berasaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sarawak secara realistik berupaya untuk menuntut autonomi yang lebih meluas.
“Beberapa tindakan kerajaan negeri sejak kebelakangan ini jelas menggambarkan kecenderungan untuk memperluaskan kawalan terhadap hal ehwal seperti pengagihan gas, pendidikan dan perundangan syariah.
“Kebimbangan utama bukan hanya pada tuntutan autonomi tetapi pada kemungkinan Sarawak akan meletakkan diri sebagai entiti quasi-negara dalam Persekutuan jika kehendaknya tidak diimbangi dengan bijaksana,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan jika Sarawak akan menuntut hak autonomi yang lebih kritikal berbanding sebelum ini.
Ia susulan jangkaan pakar-pakar ekonomi yang melihat Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk menjadi negeri paling kaya di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, termasuk susulan pengoperasian Petros yang secara rasmi mengambil alih peranan sebagai agregator gas tunggal di negeri itu berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Sementara itu ditanya cara terbaik untuk mengurus kehendak autonomi ini, Awang Azman menegaskan perlunya pendekatan tadbir urus bersama antara kerajaan Pusat dan Sarawak.
Jelasnya, realiti politik pasca Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan penyesuaian struktur pentadbiran dan Putrajaya perlu bergerak ke arah ‘federalisme asimetrik’ yang lebih responsif dan adil.
“Beberapa strategi boleh diambil antaranya penyerahan kuasa secara institusi dan tersusun, termasuk pindaan perlembagaan dan pengaktifan semula Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC).
“Rundingan tetap dua hala antara Sarawak dan Putrajaya juga perlu dibuat, bukan sekadar pendekatan ad hoc.
“Selain itu, peruntukan kewangan yang lebih fleksibel termasuk hasil cukai terus kepada negeri serta pengiktirafan naratif kenegaraan yang lebih majmuk, bukan berpaksikan dominasi Semenanjung semata-mata,” katanya.
Tambah beliau, jika dilakukan dengan bijak, tuntutan autonomi Sarawak bukanlah satu ancaman sebaliknya satu penguatan kepada kerjasama Persekutuan yang lebih matang.
“Autonomi Sarawak bukan isu wilayah semata-mata. Ia adalah ujian sebenar terhadap struktur dan kematangan persekutuan Malaysia,” tegasnya.
Pro dan kontra Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, Sarawak sememangnya berada pada landasan kukuh untuk menjadi negeri paling kaya di Malaysia, namun negeri itu tidak boleh terlalu bergantung kepada sumber asli semata-mata.
Menurutnya, walaupun pengoperasian Petros sebagai agregator gas tunggal dilihat sebagai pemangkin utama pendapatan negeri, namun perlu ada strategi jangka panjang yang menyeluruh bagi memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat.
“Bila kerajaan negeri ada kekuatan kewangan sendiri, banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan tanpa perlu menunggu proses kelulusan atau dana daripada Pusat yang kadangkala memakan masa. Ini memberi ruang untuk Sarawak mempercepat pelbagai inisiatif termasuk pembangunan luar bandar.
“Keupayaan Sarawak menjana pendapatan sendiri akan memperkukuh kestabilan fiskal negeri, seterusnya mempercepatkan projek-projek infrastruktur seperti jalan raya baharu, jambatan serta kemudahan awam lain di kawasan luar bandar.
“Kita sudah lihat bagaimana Lebuhraya Pan Borneo diperuntukkan kerajaan Pusat. Tetapi untuk capai ke rumah-rumah penduduk pedalaman, jalan perhubungan negeri perlu dibina dan diurus kerajaan negeri. Bila akses ini baik, ekonomi tempatan akan lebih rancak,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Sarawak mempunyai kelebihan dari aspek keluasan tanah dan sumber semula jadi, namun ia tidak seharusnya terlalu bergantung kepada sektor pertama seperti minyak, gas dan pertanian.
“Sumber asli memang memberikan pulangan cepat namun dunia sedang berubah dan banyak negara mula beralih ke teknologi hijau serta tenaga boleh diperbaharui.
“Kalau Sarawak terlalu fokus kepada sumber dalam tanah, bimbang mereka ketinggalan bila harga komoditi jatuh atau pasaran berubah.
“Disebabkan itu, pentingnya Sarawak menumpukan kepada pembangunan sektor kedua dan ketiga iaitu sektor pembuatan serta perkhidmatan termasuk ekonomi digital, bagi meningkatkan nilai tambah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!