[VIDEO] 'Dua minggu bertarung nyawa, syukur diberi peluang kedua'


Itu luah Sarjan Mohd Parih Ali, 44, salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terselamat dalam tragedi menyayat hati mengorbankan sembilan rakan setugasnya, 13 Mei lalu, lapor wartawan Sinar Harian, Normawati Adnan.

Selepas hampir dua minggu bertarung nyawa dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan, anggota Unit 5 FRU Sungai Senam itu akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada Rabu.

Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/730194/berita/semasa/dua-minggu-bertarung-nyawa-syukur-diberi-peluang-kedua

#SinarHarian #BeritaSemasa #NahasFRU #FRU #TelukIntan" />
A
A
A

IPOH - "Saya rasa seperti diberi peluang kedua untuk hidup."

Itu luah Sarjan Mohd Parih Ali, 44, salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terselamat dalam tragedi menyayat hati mengorbankan sembilan rakan setugasnya, 13 Mei lalu.

Selepas hampir dua minggu bertarung nyawa dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan, anggota Unit 5 FRU Sungai Senam itu akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada Rabu.

Meskipun mengalami kesan kecederaan teruk termasuk pendarahan dalam kepala, Mohd Parih bersyukur dan melihat kehidupannya dari sudut berbeza selepas melalui saat genting yang hampir meragut nyawa.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan keadaan sekarang. Daripada terlantar di ICU, kini saya sudah boleh kembali ke rumah.

"Sepanjang 10 hari di hospital, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana keadaannya. Syukur saya masih diberi peluang kedua hidup," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Mohd Parih
Mohd Parih

Menurut beliau, sepanjang tempoh rawatan di ICU, dia tidak ditidurkan, hanya dalam keadaan lemah serta memerlukan pemantauan rapi.

Artikel Berkaitan:

"Saya sedar sepanjang di ICU, cuma mungkin dalam keadaan separuh sedar kerana ubat dan keadaan badan yang masih sakit. Saya masih ingat bila orang datang melawat, saya sedar siapa yang datang. Alhamdulillah saya masih ingat semuanya," katanya lagi.

Mengenang kembali detik kejadian, Mohd Parih mengakui, tidak menyedari nahas berlaku kerana dalam keadaan tidur sewaktu menaiki trak FRU yang ketika itu bergerak keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menuju ke markas di Sungai Senam.

"Tak sampai 20 minit jalan, saya dah tidur sebab malam tu kerja sampai jam 3 pagi. Bila saya sedar, kawan-kawan cuba tarik saya keluar, saya tidak boleh bergerak ketika itu," ujarnya dengan suara sebak.

Beliau yang mula menyertai FRU sejak tahun 2003 menyifatkan tragedi itu sebagai peristiwa paling menyedihkan sepanjang lebih 20 tahun perkhidmatannya.

"Selama saya dalam FRU, ini peristiwa paling sedih. Saya harap kawan-kawan terus kuat semangat dan diberi kekuatan untuk sembuh," katanya.

Terdahulu, Mohd Parih dan isteri, Rohani Yatim, 45, menerima kunjungan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim bersama Yayasan Ikhlas di kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam di sini.

Zamri (kanan) bersama Yayasan Ikhlas meluang masa menziarahi mangsa dan waris tragedi melibatkan anggota FRU pada Jumaat.
Zamri (kanan) bersama Yayasan Ikhlas meluang masa menziarahi mangsa dan waris tragedi melibatkan anggota FRU pada Jumaat.

Rohani memberitahu, suaminya mengalami pendarahan dalam kepala dan hati, serangan jantung dan jantung bengkak, kecederaan tisu tulang belakang, patah tangan kanan serta cedera di kedua-dua tempurung kaki akibat nahas tersebut.

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peremuan Methodist berkata, meskipun dibenarkan pulang, suaminya masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mengikut jadual diberikan doktor pakar.

"Sepanjang rawatan di ICU saya anggap ianya satu tempoh yang mendebarkan, tetapi saya percaya dan yakin atas semua doa-doa rakyat Malaysia, suami saya boleh sembuh," katanya.

Dalam nahas kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam dan sedang menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Nahas turut mengakibatkan sembilan anggota lain cedera dengan sebahagiannya parah.

Setakat ini, mangsa yang masih dirawat di ICU Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39. Seorang lagi mangsa, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, dirawat di ICU HRPB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!