Faisal Halim tekad tidak sia-siakan peluang kedua bersama Harimau Malaya

Faisal Halim tidak mahu mensia-siakan peluang kedua apabila disenaraikan semula ke dalam latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski.
Faisal Halim tidak mahu mensia-siakan peluang kedua apabila disenaraikan semula ke dalam latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski.
A
A
A

PEMAIN kebangsaan, Faisal Halim tidak mahu mensia-siakan peluang kedua apabila disenaraikan semula ke dalam latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski.

Tonggak Selangor FC itu berkata, beliau kini berada pada tahap bersedia dan berazam untuk memberikan sepenuh komitmen bagi menguatkan pasukan negara.

“Alhamdulillah, ini adalah kali kedua saya menerima panggilan daripada Coach Peter. Justeru, saya bertekad dan bersemangat untuk mendapatkan semula prestasi seperti dahulu.

“Apa yang saya boleh katakan sekarang ialah ini merupakan fasa untuk saya mengejar kembali apa yang telah ketinggalan sebelum ini, dan saya mahu mencari semula rentak permainan saya.

“Saya rasa setahun yang lalu adalah satu pengajaran dan detik hitam yang telah berlaku dan ingin saya lupakan. Kini, masanya untuk saya fokus semula dalam karier saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Faisal memaklumkan bahawa persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan bukan satu tekanan buat dirinya, sebaliknya menjadi motivasi untuk terus memberikan aksi terbaik di atas padang.

Beliau yang mesra disapa sebagai Mickey itu berkata, keputusan sama ada diturunkan dalam perlawanan atau tidak diserahkan sepenuhnya kepada pengendali skuad.

“Sekiranya Coach Peter merasakan saya belum bersedia, saya tiada masalah. Tetapi sebagai pemain, saya akan memberikan yang terbaik di atas padang.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang boleh saya katakan, 29 Mei ini adalah satu perlawanan penting untuk skuad, sebagai persiapan menghadapi Vietnam. Bila kita bertemu pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi, ia menuntut kita untuk beraksi dengan lebih baik.

“Itu hanya ranking semata-mata. Kita akan mempamerkan aksi berkualiti di atas padang, dan daripada situ kita akan dapat mengukur prestasi pasukan – sama ada perlu ditambah baik atau sudah cukup untuk berdepan Vietnam,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde dan perlawanan kedua pusingan ketiga Kumpulan F, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil masing-masing pada 29 Mei dan 10 Jun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!