Mutawif didakwa salah guna RM120,000 milik syarikat

SHAH ALAM – Seorang mutawif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menyalahgunakan lebih RM120,000 milik sebuah syarikat perlancongan, bermula 2023 lalu.
Mohamad Anas Mohamad Naem, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, lelaki didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang milik syarikat Al-Khairi Travel & Tours Sdn Bhd berjumlah RM128,399.19 bagi tujuan peribadi, di sebuah bank di sini, antara 16 November 2023 hingga 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Saiful, Roger & Co.
Mahkamah membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM25,000 dengan dua penjamin.
Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap sekali dua bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Jun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

