Rumah hangus ketika urus jenazah ibu

Mohamad (kiri) dan anaknya, Nor Ayuni Amira (kanan) yang jatuh tangga, melihat motosikal musnah. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad (kiri) dan anaknya, Nor Ayuni Amira (kanan) yang jatuh tangga, melihat motosikal musnah. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

MACHANG - Hari yang sepatutnya menjadi waktu terakhir seorang anak mengiringi jenazah ibunya ke liang lahad, menjadi detik pilu berganda apabila rumah yang menjadi tempat berteduh mereka sekeluarga pula musnah dalam kebakaran di Batu 23, Labok, di sini.

Pegawai Operasi syarikat keselamatan, Mohamad Zakaria, 49, berkata, kebakaran pada jam 7.30 malam, Khamis itu memusnahkan keseluruhan rumah sewa yang didiami bersama isteri, Sareenah, 43, dan sembilan anak sejak tiga tahun lalu.

Dugaan berganda buat Mohamad Zakaria apabila rumah didiami bersama isteri dan sembilan anak musnah terbakar sewaktu dia sedang menguruskan jenazah ibu.
Dugaan berganda buat Mohamad Zakaria apabila rumah didiami bersama isteri dan sembilan anak musnah terbakar sewaktu dia sedang menguruskan jenazah ibu.

Katanya, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga berada di rumah ibunya, Zaharah Talib, 80, di kampung di Bukit Merbau, Pasir Puteh selepas warga emas itu meninggal dunia di Hospital Tengku Anis kira-kira jam 2 petang hari sama akibat serangan angin ahmar.

“Saya baru selesai bawa jenazah ibu balik dari hospital ke rumah di Bukit Merbau untuk dikebumi lepas Isyak.

“Belum sempat jenazah dibawa ke kubur, saya dapat panggilan seorang penduduk beritahu rumah saya terbakar.

"Saya terus bergegas mengajak isteri dan kesemua anak-anak balik hingga anak kedua terseliuh buku lali kanan akibat terjatuh tangga kerana panik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Rumah yang hangus secara keseluruhan ketika tiada penghuni. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Rumah yang hangus secara keseluruhan ketika tiada penghuni. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Mohamad berkata, sebaik tiba di rumah selepas memandu sejauh 45 kilometer, dia mendapati api marak dan dalam keadaan tergesa-gesa terus meluru ke rumah untuk menyelamatkan anak-anak, walhal kesemua ada bersamanya di dalam kereta.

Katanya, dia ditenangkan bomba dan kebakaran turut memusnahkan tiga motosikal jenis Honda RXS, Honda Kriss dan Barnely selain dua kereta yang rosak apabila tingkapnya cair.

“Wang tunai RM2,000 hasil perniagaan anak serta barang jualan gerai mi sup, sosej dan keropok turut hangus.

“Barang-barang kerja saya seperti komputer juga musnah dengan keseluruhan rugi kira-kira RM70,000,” katanya.

Sareenah (kanan) bersama sebahagian anak-anaknya duduk melihat sisa rumah selepas kebakaran. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Sareenah (kanan) bersama sebahagian anak-anaknya duduk melihat sisa rumah selepas kebakaran. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Mohamad, sebelum ini, pada Oktober 2022, dia juga kehilangan anak lelaki ketiga akibat motosikal mangsa yang bertembung dengan lori muatan batu dalam kemalangan jalan raya di simpang empat Kuari, Bukit Buloh, Pulai Chondong.

“Dugaan kali ini amat berat. Rumah terbakar, ibu meninggal dunia dan saya pula tak sempat uruskan jenazah, kami juga tak tahu di mana nak tinggal selepas ini.

“Tapi saya reda. ALLAH uji saya. Saya cuma harap ada tempat berteduh sementara kerana anak paling kecil baru dua tahun selain ada enam anak perempuan,” katanya.

Jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Merbau dengan bantuan adik-beradik lain dan saudara mara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!