X

Kindly register in order to view this article
!

'Muhyiddin bukan pengkhianat tetapi penyelamat'

Muhyiddin
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan menyelar tindakan pimpinan tertentu dan juga pihak yang menggelarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tanggal 1 Mac lalu, menjadi hari bersejarah apabila secara rasminya Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, tiada siapa menjangkakan dengan berkat keizinan dan kehendak ALLAH SWT, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendapat mandat daripada majoriti ahli Parlimen bagi mengakhiri kemelut perpecahan selama seminggu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Muhyiddin telah diangkat ALLAH SWT untuk menjadi pemimpin utama negara walaupun tidak pernah sedikit pun kita mendengar cerita beliau menginginkan jawatan tersebut. Malah setahun yang lepas pun beliau terpaksa menjalani rawatan kemoterapi bagi penyakit kanser dan dilihat perjalanan politiknya bakal tamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Hariri
Noor Hariri

Beliau berkata, namun begitu seteru politik beliau secara berterusan menggelarkan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai seorang pengkhianat apabila menerima jawatan Perdana Menteri dan berterusan menuduh pakatan pintu belakang bersama-sama dengan gagasan Muafakat Nasional.

Bagaimanapun katanya, rakyat sudah jelas bahawa Muhyiddin menjadi penyelamat kepada mainan kemelut kuasa antara dua pemimpin.

“Sekalung penghormatan kepada Muhyiddin yang bertindak tegas, nekad dan berani dengan membawa keluar Bersatu daripada PH kerana tidak sanggup lagi bersama dengan DAP demi menjulang kembali agama Islam dan bangsa Melayu.

“Saya memohon seluruh rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri Kelapan ini untuk membaiki kerosakan yang dibuat selama 22 bulan dalam PH,” katanya.

Katanya, beliau juga yakin dan percaya percaya bahawa keadaan negara selepas ini akan bertambah baik berkat sokongan daripada pimpinan Muafakat Nasional.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!