Penjawat awam rugi RM50,000 diperdaya polis palsu

IPOH - Seorang penjawat awam berputih mata apabila mengalami kerugian RM50,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai polis dan mengaitkannya dengan kegiatan jenayah berat.
Mangsa, seorang wanita berusia 40 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Perak, menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada Selasa lalu.
Pemanggil mendakwa kad Touch ‘n Go milik mangsa telah disambungkan dengan kad kredit individu lain yang mengalami kerugian, sebelum panggilan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pegawai penyiasat tersebut menuduh mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.
"Mangsa diberitahu waran tangkap telah dikeluarkan oleh Bukit Aman terhadapnya dan dikatakan pernah menjual kad bank miliknya kepada seorang lelaki Cina yang ditahan polis.
"Malah, mangsa turut dituduh bersubahat menerima komisen hasil penjualan dadah berjumlah RM228,000," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, suspek kemudian memujuk mangsa supaya menyerahkan aset berharga kepadanya atas alasan rumah mangsa akan digeledah polis.
Katanya, bimbang dengan keadaan tersebut, mangsa menyerahkan barang kemas milik sendiri dan ibunya kepada suspek di hadapan sebuah klinik pergigian di Pusat Perniagaan Falim di sini.
"Mangsa yang mula menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis keesokan harinya.
"Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," katanya.
Menurut Abang Zainal Abidin, siasatan dilakukan dan seorang wanita berusia 56 tahun ditahan di sekitar Ipoh pada Rabu.
Ujarnya, tangkapan sekitar jam 8.40 malam turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi, tiga utas rantai tangan, seutas rantai leher, dua bentuk cincin, empat keping jongkong emas seberat empat gram serta dua keping syiling perak yang dipercayai milik mangsa.
"Suspek mengaku mengambil barang kemas itu daripada mangsa atas arahan individu tidak dikenali menerusi panggilan telefon.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai penguat kuasa.
"Masyarakat harus lebih peka dengan modus operandi yang sering digunakan serta berfikir secara logik sebelum mengambil apa-apa tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!