Netanyahu, si lidah bercabang sedia laksana gencatan senjata sementara

Delegasi asing yang sedang melawat bandar Jenin di Tebing Barat cuba berlindung setelah Zionis melepaskan tembakan ke arah mereka pada Rabu.
Delegasi asing yang sedang melawat bandar Jenin di Tebing Barat cuba berlindung setelah Zionis melepaskan tembakan ke arah mereka pada Rabu.
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu wajar digelar sebagai pemimpin 'lidah bercabang' selepas secara tiba-tiba beliau mengumumkan kononnya terbuka kepada pelaksanaan gencatan senjata sementara di Genting Gaza sedangkan cadangan itu berulang kali ditolak kerajaan 'ekstremis' di Tel Aviv sebelum ini.

“Kami akan bersedia jika ada pilihan tempoh bertenang seketika bagi membebaskan baki tawanan di Gaza,” ujarnya merujuk kepada kira-kira 20 tebusan yang dipercayai masih hidup.

Tetapi, Netanyahu tetap dengan rancangan 'penaklukan' seluruh Gaza yang kemudiannya akan diletakkan di bawah kawalan Tel Aviv setelah Operasi Kenderaan Perang Gideon berakhir.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas askar Zionis melepaskan tembakan amaran ke arah delegasi asing yang sedang berkunjung ke Tebing Barat.

Kementerian Luar Palestin mendakwa, tentera Israel sengaja menyasarkan wakil diplomatik bertauliah dengan tembakan peluru hidup berhampiran bandar Jenin yang menjadi medan pertempuran sengit ketika ini.

Seorang diplomat Eropah memaklumkan kumpulan itu sedang melawat lokasi yang musnah akibat kempen serbuan ganas Zionis selama beberapa bulan.

Tentera Israel memberi alasan kononnya tembakan amaran dilepaskan setelah kumpulan itu menyimpang dari laluan dibenarkan dan memasuki zon larangan.

Insiden itu mencetuskan kecaman negara antarabangsa termasuk dari Kanada, Mesir, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Turkiye, Uruguay dan Kesatuan Eropah (EU).

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas menggesa Tel Aviv melancarkan siasatan ke atas kejadian tembakan itu dan menghukum pelaku bertanggungjawab. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!