Israel ugut rampas Gaza lagi

TEL AVIV - Israel pada Isnin dengan angkuh menyatakan ia 'merampas kawalan' ke atas seluruh Genting Gaza ketika kempen ketenteraan baharu yang diperluaskan semakin diperhebatkan dan meragut ratusan nyawa.
Ugutan berulang untuk menakluk wilayah itu dibuat selepas Tel Aviv membenarkan penghantaran bekalan bantuan terhad ke Gaza di tengah-tengah Operasi Kenderaan Perang Gideon yang dilancarkan sejak akhir minggu lalu.
Kumpulan pertama konvoi bantuan termasuk bekalan makanan bayi dilaporkan sudah diberi akses ke enklaf tersebut buat pertama kali sejak sekatan ketat dikenakan pada 2 Mac lalu.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar trak yang dibenarkan memasuki ke Gaza kerana beliau percaya ia mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk Palestin.
"Tiada satu pun bantuan telah diambil di zon ditetapkan Israel. Keadaan yang gelap dan kebimbangan terhadap keselamatan staf agensi berkaitan menyebabkan proses pengagihan terpaksa ditangguhkan," ujarnya.
Ketika ini, pemimpin Britain, Perancis dan Kanada mengutuk kekejaman Zionis ke atas penduduk Palestin di Gaza.
"Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan konkrit jika Israel tidak menghentikan kempen pencerobohan tersebut," tegas mereka menerusi kenyataan bersama.
Selain itu, kumpulan terdiri daripada 22 negara termasuk Jepun dan Australia juga memberi amaran penduduk Gaza sedang berdepan krisis kebuluran dahsyat dan mereka seharusnya menerima bantuan yang diperlukan pada kadar segera. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

