Penjawat awam perlu ada ketahanan diri depani cabaran 'megatrends'

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Penjawat awam Negeri Sembilan perlu mempunyai ketahanan diri dari segi pemikiran, sikap dan emosi dalam mendepani cabaran 'megatrends'.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain cemerlang dalam perkhidmatan, ketahanan diri itu penting bagi berdepan dengan ketidaktentuan dan perubahan agar manfaat kepada rakyat dapat diteruskan.

"Tidak dapat dinafikan, pelbagai cabaran 'megatrends' yang akan dihadapi oleh perkhidmatan awam termasuklah isu ketidakstabilan ekonomi global, penduduk menua, perubahan demografi, ancaman siber, perubahan iklim dan sebagainya.

"Maka, kejayaan sesebuah organisasi bukanlah nyanyian solo, tetapi ia adalah kombinasi antara orkestra usaha, irama semangat dan rentak kerjasama.

"Kejayaan sesebuah jabatan bukan sahaja bergantung kepada cerdiknya kepimpinan, tetapi juga kepada kesungguhan dan komitmen setiap warganya," katanya pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 di Klana Resort pada Khamis.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai bantuan seperti Bantuan Khas Kewangan, Perumahan dan Pinjaman Tanpa Faedah kepada penjawat awam.

Beliau berpuas hati dengan kecemerlangan penjawat awam selain berbangga tiga daerah di Negeri Sembilan telah muncul antara Bandar Negeri Bahagia di Malaysia

"Sehingga 21 Mei 2025, hasil negeri yang berjaya dikutip berjumlah RM250.66 juta bersamaan 42.48 peratus daripada sasaran dan jumlah

ini lebih tinggi dicatatkan daripada kutipan hasil negeri pada tempoh sama tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Negeri Sembilan juga telah mencatatkan nilai pelaburan pada 2024 iaitu RM7.25 bilion yang mewujudkan lebih 4,600 peluang pekerjaan di Negeri Sembilan," tambahnya.

Bagaimanapun katanya, kecemerlangan tersebut perlu sentiasa ditambah baik agar lebih cemerlang pada masa hadapan dan memberi impak signifikan kepada pentadbiran dan pembangunan di Negeri Sembilan.

Pada masa sama, penjawat awam diingat sentiasa prihatin dengan permasalahan rakyat dan penyampaian perkhidmatan awam harus berpaksikan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!