Nafas umum kadar dividen 10 peratus

PUTRAJAYA- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengumumkan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (DPK) sebanyak 10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kadar tersebut merangkumi tujuh peratus dividen dan tiga peratus bonus untuk pelaburan sehingga 100,000 unit pertama, manakala hibah sebanyak 0.75 peratus diberikan kepada akaun simpanan Al-Wadiah DPK.
Beliau berkata, DPK bukan sahaja telah berjaya melaksanakan fungsi sebagai pemegang amanah dana, malah telah membuktikan bahawa dengan pengurusan cekap, telus dan progresif serta mampu menjana pulangan yang mampan dan konsisten.
“Prestasi DPK bagi tahun 2024 telah mencatatkan pertumbuhan yang membanggakan, termasuk dari segi keuntungan, jumlah aset serta pengagihan manfaat kepada pelabur.
“Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap struktur pentadbiran dan dasar pelaburan yang diterajui oleh DPK semakin kukuh dari tahun ke tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengumuman Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang, Dana Peladang Kebangsaan, di sini pada Rabu.
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu DPK, Haris Alimudin.

Ujar Mohamad, usaha DPK melebarkan sayap ke dalam portfolio pelaburan yang pelbagai seperti IPO MITI, projek pertanian moden dan perkhidmatan kewangan khusus turut membuktikan bahawa peladang juga mampu menjadi pemain ekonomi dalam ekosistem lebih luas.
“Saya amat menyokong usaha ini, namun dalam masa yang sama ingin menyeru agar DPK tidak terlalu selesa dengan pencapaian semasa tetapi mestilah terus agresif dalam meneroka ruang pelaburan baharu,” jelasnya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya untuk DPK memperluas jaringan kerjasama pelaburan, mungkin dengan institusi kewangan lain, syarikat teknologi pertanian atau pelaburan hijau yang kini sedang meningkat naik.
“Saya ingin menekankan agar ketelusan, ketekunan dan prinsip pematuhan syariah terus dikekalkan dalam sebarang keputusan pelaburan yang dilaksanakan.
“DPK juga perlu memastikan bahawa sebarang pengembangan portfolio tidak menggugat asas kepercayaan pelabur, terutamanya ahli peladang yang telah sekian lama menyokong skim ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyarankan kempen Go+Invest memasukkan elemen pendidikan, bengkel pelaburan dan simulasi risiko supaya pelabur bukan sahaja menyimpan tetapi turut faham dan terlibat dalam proses pelaburan mereka.
“Saya percaya pendekatan ini akan mewujudkan peladang dan pelabur yang bukan sahaja bijak, tetapi lebih setia dan komited terhadap skim yang ditawarkan oleh DPK,” katanya.
Menurutnya, kerjasama berterusan antara kementerian, Nafas dan DPK dalam melahirkan lebih ramai peladang yang celik kewangan amat digalakkan.
“Saya percaya, dividen 10 peratus yang diumumkan hari ini menjadi tanda aras baharu kepada keupayaan DPK dan akan terus menambah keyakinan pelabur terhadap skim ini,” katanya.
Prestasi terbaik
Sementara itu, Haris berkata, kadar tahun itu mencerminkan prestasi terbaik setakat ini.
“Kami percaya, agihan ini bukan sahaja kompetitif malah menunjukkan keyakinan
pelabur terhadap pengurusan yang cekap dan beretika,” katanya.
Secara purata, sejak tiga tahun kebelakangan ini, DPK mencatat pertumbuhan pendapatan sekitar 21 peratus setahun dan pertumbuhan aset sekitar 7.5 peratus setahun.
“Ini menunjukkan bahawa pendekatan pengurusan pelaburan yang teliti dengan diversifikasi portfolio yangseimbang memberi hasil yang sangat baik kepada semua pemegang akaun,” katanya.
Ketika ini, DPK menguruskan hampir RM273 juta dana pelaburan yang
melibatkan pelbagai portfolio jangka pendek dan panjang termasuk dalam sektor pertanian, IPO MITI, hartanah dan perkhidmatan pembiayaan.
Sehingga kini, pembiayaan terkumpul lebih RM35 juta telah disalurkan kepada projek-projek pertanian seperti sawit, fertigasi, stesen minyak serta pembelian jentera, termasuk kolaborasi dengan Bahagian Kejenteraan Nafas.
REAKSI

“Kadar 10 peratus ini kami tidak jangkakan dan saya mewakili ahli yang melabur amat gembira dengan pengumuman ini.” Pengurus Besar PPK Klang, Masdura Supian

“Kadar dividen ini sangat kompetitif sebab daripada perbandingan yang kita buat, ini adalah adalah antara pelaburan yang memberi pulangan tinggi.”-Pengurus Besar PPK Batu Pahat Tengah, Syahurin Sarjuni
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
