KWSP sasar kadar dividen Konvensional, Shariah kekal sama

Agihan dividen KWSP 2024 sama antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah iaitu sebanyak 6.30 peratus dipengaruhi oleh strategi pengasingan dana dibuat oleh kumpulan dana persaraan berkenaan. Foto fail Bernama
Agihan dividen KWSP 2024 sama antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah iaitu sebanyak 6.30 peratus dipengaruhi oleh strategi pengasingan dana dibuat oleh kumpulan dana persaraan berkenaan. Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2024 sama antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah iaitu sebanyak 6.30 peratus dipengaruhi oleh strategi pengasingan dana dibuat oleh kumpulan dana persaraan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KSWP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, dengan strategi itu juga pihaknya menyasarkan dividen Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan lebih kurang sama dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, tahun 2024 adalah tahun pertama KWSP memisahkan Simpanan Konvensional dengan Simpanan Shariah kepada dua dana.

Ahmad Zulqarnain Onn - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Ahmad Zulqarnain Onn - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

"Strategi kami untuk buat sedemikian supaya setiap dana konvensional dan shariah boleh diurus secara tersendiri. Dengan kemampuan kami menguruskan ia secara tersendiri, kami boleh membuat strategi yang berasingan, berlainan sedikit mengikut pasaran serta aset yang ada di dalam kedua-kedua dana.

"Sasaran kami dalam jangka masa panjang, kadar dividen akan lebih kurang sama. Dari tahun ke tahun mungkin berbeza. Secara kebetulan tahun ini sama, tak semestinya (dalam masa terdekat akan terus) sama tetapi dalam kadar jangka masa panjang, insya-ALLAH kadar dividen akan lebih kurang sama," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman prestasi kewangan KWSP di sini, pada Sabtu.

KWSP terdahulu mengumumkan kadar dividen masing-masing 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun 2024 dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM73.24 bilion.

Angka yang diisytiharkan berkenaan sekali gus menjadi kadar agihan dividen KWSP tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2024.

Ahmad Zulqarnain berkata, langkah pengasingan sepenuhnya portfolio Simpanan Konvensional dengan Simpanan Syariah membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri.

Artikel Berkaitan:

"Pemisahan ini juga meningkatkan kepelbagaian, memastikan aset di bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional diagihkan dengan baik merentasi kelas aset, geografi, pasaran dan industri bagi menjamin pulangan yang mampan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zulqarnain menjelaskan kenaikan kadar dividen kedua-dua dana terbabit pada tahun 2024 antaranya didorong pasaran ekuiti di Malaysia yang meningkat lebih 12 peratus dan juga pasaran ekuti seluruh dunia yang meningkat 17 peratus.

"Maka kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia juga agak bagus dengan 5.1 peratus.

"Inilah faktor-faktor yang menyebabkan dividen KWSP naik daripada 5.50 peratus tahun 2023 kepada 6.30 pada 2024," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!