Kolej Profesional Mara mulakan kursus integriti, antirasuah

PUCHONG - Kumpulan pertama pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) memulakan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sebagai mata pelajaran wajib pada kemasukan sesi Julai akan datang di kesemua enam institusinya di seluruh negara.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, pengenalan subjek KIAR ini bertujuan bagi meningkatkan kemahiran dan perkongsian serta pendedahan dari semua aspek berkaitan isu rasuah, tatakelola dan integriti.
Sebelum itu, seramai 13 orang tenaga pengajar dari Kolej Profesional Mara daripada seluruh negara telah menghadiri sesi Training of Trainners (ToT) Kursus Integriti dan Antirasuah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Isnin lalu, di Espira Resort Kinrara, di sini.
Kursus selama tiga hari itu menyaksikan sebanyak 10 modul telah dikongsikan melalui sesi Training of Trainers (ToT) tersebut disampaikan oleh pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Muhammad Zamani Othman, Mohd Adib Othman dan Rosni Mohd Mokhtar.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip.
Beliau turut berkongsi pengalaman sebagai tenaga pengajar di awal perlaksanaan KIAR serta memberikan kata-kata semangat kepada semua tenaga pengajar yang hadir.
Selain perlaksanaan ToT, kesempatan tersebut juga diambil bagi pemurnian silibus KIAR di peringkat KPM sebelum ia mula diajar pada sesi kemasukan Julai nanti.
Sementara itu, Bahagian Pendidikan Tinggi Mara, Dr Mohd Taufek Mohd Noh, selaku tenaga pengajar dan urusetia bagi sesi ToT KPM tersebut berkata, kursus ini memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembentukan budaya integriti dan membenci amalan rasuah kepada semua pelajar di bawah Institusi Pendidikan Mara.
"Terutama para pelajar di Kolej Profesional Mara yang merupakan aset penting negara agama dan bangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
