Kes hina mahkamah Zahid tangguh, Dr Mahathir di LIMA’25

Ahmad Zahid, Dr Mahathir.
Ahmad Zahid, Dr Mahathir.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding menghina mahkamah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, ditangguhkan ke 21 Julai depan.

Penangguhan itu dibuat berikutan bekas Perdana Menteri tersebut berada di Langkawi sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Semasa prosiding, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, anak guamnya berada di luar kawasan dan memerlukan masa untuk meneliti afidavit yang baru diterima.

Menurutnya, Dr Mahathir yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 10 Julai depan, baru sahaja menerima afidavit daripada pihak defendan, Datuk Seri Ahmad Zahid, pada Rabu.

“Kami juga belum mendapat arahan daripada anak guam berkaitan dokumen terbabit,” katanya.

Justeru, beliau memohon penangguhan prosiding komital tersebut bagi membolehkan pihaknya membuat persediaan, termasuk untuk perbicaraan kes saman Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid berhubung isu ‘Kutty’.

Sementara itu, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, 72, mengesahkan afidavit telah diserahkan kepada pihak plaintif dan tidak membantah permohonan penangguhan prosiding.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan dan menetapkan 19 Jun sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan kes saman berkenaan pada 22 hingga 24 Julai depan.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Disember tahun lalu, Dr Mahathir selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman tersebut, manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menjadi saksi terakhir plaintif pada 9 Disember.

Selepas prosiding pada tarikh tersebut, Dr Mahathir turut menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan lama miliknya, isteri dan empat anak serta surat beranak asal sebagai bukti bahawa nama sebenar mereka tidak seperti yang didakwa.

Menurut Dr Mahathir, semua salinan kad pengenalan tersebut diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Susulan itu, pada 7 Januari lalu, Ahmad Zahid mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Mahathir.

Untuk rekod, Dr Mahathir memfailkan saman pada 20 Julai 2022 dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat yang secara langsung merujuk kepada dirinya.

Kenyataan tersebut didakwa dibuat semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya bahawa kenyataan fitnah itu, yang merujuk kepada "orang itu", "dia" dan "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty", jelas merujuk kepada dirinya.

Beliau mendakwa kenyataan tersebut berniat jahat, menyebabkan beliau terdedah kepada kebencian masyarakat serta menjejaskan reputasinya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Dr Mahathir turut menyatakan bahawa kenyataan itu memberi maksud tersirat bahawa beliau seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika dalam memegang jawatan awam dan tidak layak menjadi pemimpin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!