Dua video Tun M ditayangkan di mahkamah

Dr Mahathir yang memakai kot berwarna kelabu, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding menghina mahkamah difailkan Ahmad Zahid pada Rabu.
Dr Mahathir yang memakai kot berwarna kelabu, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding menghina mahkamah difailkan Ahmad Zahid pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding menghina mahkamah difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, dimulakan dengan penyiaran dua video sidang media.

Ia membabitkan tayangan yang disiarkan dua portal berita, selepas perbicaraan kes kes saman Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid berhubung isu 'Kutty' di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Disember tahun lalu.

Mahkamah juga membenarkan Dr Mahathir yang akan menyambut kelahiran ke-100 pada 10 Julai depan ini, duduk bersama barisan peguamnya bagi menyaksikan rakaman tersebut dari jarak dekat.

Semasa prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Presiden UMNO itu memohon rakaman berkenaan ditayangkan.

“Pada tarikh berkenaan, rakaman tersebut telah dirancang lebih awal dan bukan berlaku secara spontan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir yang mewakili bekas Ahli Parlimen Langkawi selaku plaintif itu membantah perkara berkenaan.

“Tiada salinan fizikal cakera padat yang disampaikan kepada pihak kami selain tidak melampirkan pengesahan kebenaran video itu mengikut Seksyen 90A Akta Keterangan 1950,” katanya.

Selepas ditayangkan, Pesuruhjaya Kehakiman menetapkan 14 Mei untuk kedua-dua pihak memaklumkan tindakan susulan.

“Prosiding komital yang difailkan merupakan dakwaan yang serius, maka jalan yang terbaik ialah mahkamah memberi masa untuk plaintif mendapatkan arahan lanjut daripada peguamnya.

Artikel Berkaitan:

“Ini juga demi keadilan pihak-pihak, prosiding akan bersambung bulan hadapan," katanya.

Pada 5 Disember tahun lepas, Dr Mahathir selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu sementara anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai saksi terakhir plaintif pada 9 Disember tahun sama.

Ahmad Zahid pula dijangka memberi keterangan sebagai saksi defendan pada 14 Mei depan.

Selesai prosiding pada tarikh berkenaan, Dr Mahathir menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan lama miliknya, isteri dan empat anak berserta surat beranak asal bagi membuktikan nama sebenar mereka.

Dr Mahathir memberitahu, semua salinan kad pengenalan berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah, dan berniat jahat yang secara langsung merujuk kepada dirinya.

Kenyataan itu dibuat ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya bahawa individu dirujuk dalam kenyataan fitnah tersebut sebagai ‘orang itu’, ‘dia’, dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepada dirinya.

Beliau mendakwa, kenyataan Ahmad Zahid yang berniat jahat itu menyebabkan beliau terdedah kepada kebencian masyarakat, selain menjejaskan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Dr Mahathir berkata, kenyataan itu turut memberi maksud tersirat bahawa kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu dipersoalkan.

Katanya, kenyataan itu menggambarkan dirinya sebagai seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika dalam memegang jawatan awam, dan tidak layak menjadi pemimpin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!