MYBOS’25 kukuh kedudukan Langkawi sebagai hab pelayaran Asia Tenggara

LANGKAWI – Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri pelayaran serantau menerusi pembukaan rasmi Pertunjukan Bot Antarabangsa Malaysia 2025 (MYBOS’25) yang bermula pada Rabu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang turut mencemar duli melawat tapak pameran di Royal Langkawi Yacht Club sekali gus menandakan titik tolak kepada usaha menjadikan Langkawi sebagai hab pelayaran dan pelancongan marin utama di Asia Tenggara.
Pameran selama empat hari ini menghimpunkan lebih 100 pempamer dari 12 negara mempamerkan inovasi terkini dalam industri marin seperti kapal berteknologi tinggi, penyelesaian lestari dan teknologi pelayaran masa depan yang berpotensi merangsang perdagangan rentas sempadan dan pelaburan antarabangsa.
Pengerusi MYBOS, Datuk Mohd Radzi Manan berkata, acara ini bukan sekadar pameran malah merupakan platform strategik bagi memperkukuh kerjasama Malaysia dengan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Langkawi memiliki semua elemen penting lokasi strategik, status bebas cukai dan keindahan alam semula jadi. MYBOS’25 ialah pemacu utama untuk melonjakkan industri pelayaran negara ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Turut berangkat ke majlis tersebut, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff, selain kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Mohd Radzi, MYBOS’25 turut menyokong kempen Experience Kedah 2025 sebagai inisiatif memperkenalkan kekayaan budaya dan keindahan pesisir negeri Kedah kepada pelancong dalam dan luar negara, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Dengan sokongan penuh daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Sail Malaysia, Tropicana Cenang dan Royal Langkawi Yacht Club, kami yakin MYBOS’25 akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa besar pelayaran serantau dan melonjakkan nama negara di persada global,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

