Tip doa dimakbulkan, salah satunya makanan sumber halal

KADANGKALA kita tertanya-tanya mengapa doa yang dipohon masih tidak dimakbulkan ALLAH SWT, sedangkan setiap hari doa tersebut dipanjatkan.
Mungkin belum masanya ALLAH makbulkan permintaan kita dan mungkin juga ada yang menjadi penghalang kepada terkabulnya doa tersebut.
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus ketika ditanya mengenai perkara ini, beliau menjelaskan, salah satu cara untuk dimakbulkan doa yang dipohon adalah dengan meminta perkara yang baik-baik kepada ALLAH SWT.

“Minta yang baik-baik. Kedua, mesti ikhlas ketika meminta.
“Ketiga, kena makan makanan yang halal,” jelasnya di YouTubenya pada Rabu.
Beliau kemudiannya membawakan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh sehingga rambutnya menjadi kusut-masai serta berdebu. Dia menadahkan tangan ke langit lalu berdoa: Wahai Tuhanku.
“Namun makanannya dari sumber yang haram, minumannya juga dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin ALLAH akan memperkenankan doanya?” (Hadis Riwayat Muslim)
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula menjelaskan, antara adab dalam berdoa adalah memanjatkan doa dengan penuh harapan dan yakin kepada ALLAH SWT.
“Seseorang itu perlulah meminta kepada ALLAH SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-NYA agar permintaan itu dimustajabkan.
“Demikian juga seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap agar doa dimustajabkan dan juga perasaan takut daripada doa ditolak,” jelasnya dalam artikel Al-Kafi #1015: Bagaimana mendapatkan doa mustajab.

Ia berdasarkan firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya mereka itu (para nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap serta rasa takut.” (Surah al-Anbiya’: 90)
Ujarnya, sebelum ayat tersebut, ALLAH SWT menceritakan berkaitan kisah beberapa orang nabi dan permintaan yang mereka lakukan.
“Nabi Ayub AS berdoa kepada ALLAH SWT untuk kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu ALLAH mustajabkan.
“Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan daripada musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian ALLAH mustajabkan doanya.

“Berikutnya Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu ALLAH memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya AS sebagai anak. Ketiga-tiga dia para nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada ALLAH SWT,” jelasnya.
Selain itu katanya, antara adab dalam berdoa adalah memuji ALLAH SWT sebelum meminta sebarang hajat.
“Hal ini sebagai contoh mudah, adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-Fatihah yang dibacakan seseorang.
“Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat lima pujian daripada ayat pertama hinggalah ayat yang kelima, memuji ALLAH SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. (Surah al-Fatihah: 6),” hurainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!