Jobcare Selangor tawar lebih 4,000 peluang pekerjaan, tidak pinggirkan OKU

Jobcare Selangor merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri untuk menghubungkan rakyat dengan peluang ekonomi. (Gambar kecil: Papparaidu Veraman)
Jobcare Selangor merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri untuk menghubungkan rakyat dengan peluang ekonomi. (Gambar kecil: Papparaidu Veraman)
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 4,260 kekosongan jawatan merangkumi pelbagai sektor industri ditawarkan sempena Karnival Jelajah Jobcare Selangor peringkat daerah Petaling yang berlangsung pada 24 Mei ini (Sabtu) di Dewan Serbaguna MBPJ SS3, Petaling Jaya.

Program anjuran Unit Perancang Pelaksanaan Strategik (UPPS) dengan kerjasama Perkeso itu turut disertai oleh 29 syarikat ternama yang menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan, termasuk 82 kekosongan di luar Selangor.

Antara majikan utama yang mengambil bahagian ialah Parkson Corporation, Mydin Mohamed Holdings, Longi Malaysia, Infinity Logistics & Transport serta Carsome.

Menariknya, program ini terus memacu usaha kerajaan negeri ke arah pekerjaan inklusif apabila peluang khas turut ditawarkan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) oleh syarikat seperti KyoChon, 99 Speedmart dan Nando’s Malaysia.

Menurut Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman, penganjuran karnival itu sejajar dengan aspirasi negeri untuk membina pasaran kerja yang adil dan menyeluruh untuk semua rakyat.

“Jobcare bukan sekadar program cari kerja. Ia adalah inisiatif strategik kerajaan negeri untuk menghubungkan rakyat dengan peluang ekonomi yang sebenar, termasuk kepada golongan OKU yang sering dipinggirkan daripada arus pekerjaan formal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan bahawa program sama di daerah Gombak bulan lalu mencatatkan kehadiran 531 pencari kerja, dan daripada jumlah itu seramai 259 berjaya memperoleh pekerjaan.

Antara jawatan yang ditawarkan kepada golongan OKU termasuk Service Crew dan Kitchen Crew oleh KyoChon untuk OKU pembelajaran; Pembantu Stor oleh 99 Speedmart untuk OKU bisu, pendengaran dan pembelajaran; serta Service Crew oleh Nando’s untuk OKU pendengaran dan pertuturan.

Artikel Berkaitan:

Karnival tersebut menyasarkan penyertaan daripada pelbagai sektor mengikut klasifikasi MSIC, termasuk sektor kewangan; insurans, pembuatan, pengangkutan, maklumat dan komunikasi, perdagangan runcit serta perkhidmatan makanan dan minuman.

Program Jelajah Jobcare Selangor akan diteruskan di tujuh lagi daerah iaitu Kuala Langat pada 21 Jun, Hulu Selangor (5 Julai), Hulu Langat (19 Julai), Kuala Selangor (9 Ogos), Klang (27 September), Sabak Bernam (11 Oktober), dan Sepang (15 November).

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar awal melalui pautan: https://bit.ly/jobcarepetaling

Untuk maklumat lanjut, hubungi Ketua Penyelaras UPPS, Dr Pavithra A/L Mohanadas di talian 011-3331 1148

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!