Elak sendawa kuat depan orang

KETAHUI adab yang betul ketika bersendawa. -Foto: CANVA
KETAHUI adab yang betul ketika bersendawa. -Foto: CANVA
A
A
A

SEGELINTIR daripada kita lazimnya akan sendawa selepas menikmati hidangan, tindak balas semula jadi tubuh bagi melepaskan angin dari perut selepas makan.

Namun, apa yang kurang menyenangkan ialah apabila ada yang bersendawa terlalu kuat, tanpa mempedulikan kehadiran orang lain di sekeliling.

Perbuatan itu bukan sahaja mengganggu, malah boleh mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan mereka yang terpaksa menghidu bau atau mendengar suaranya.

Itu satu hal, tetapi sebenarnya lebih daripada itu, Islam sebagai agama yang sangat menitikberatkan soal adab dan akhlak turut memberi panduan dalam hal tersebut.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, Rasulullah SAW pernah menegur seorang lelaki yang bersendawa di hadapan sahabat lain.

DR AHMAD SANUSI
DR AHMAD SANUSI

Sabda Baginda SAW: "Tahanlah sendawamu di hadapan kami. Kerana orang yang paling kenyang di dunia, (dibimbangi) paling lama laparnya di hari kiamat." (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Artikel Berkaitan:

Melihat hadis itu, ujar Dr Ahmad Sanusi, jelas bahawa Baginda mendidik kita agar tidak memperdengarkan sendawa di hadapan orang lain.

Namun begitu, katanya, larangan dalam hadis itu bukanlah bermakna perbuatan itu haram, tetapi membawa maksud galakan agar menahan diri daripada melakukan sedemikian di hadapan orang ramai.

“Ini sepertimana yang dihuraikan oleh Al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Mengulas lanjut dari sudut adab, Dr Ahmad Sanusi turut merujuk pandangan Al-Imam Zakaria Al-Ansari yang menukilkan saranan Al-Imam Al-Azra’i dalam kitab Asna al-Matalib iaitu menutup mulut ketika bersendawa sebagai salah satu bentuk kesopanan.

“Begitu juga Al-Imam Ahmad yang menghuraikan perkara ini dari aspek adab. Orang yang bersendawa berupaya mengeluarkan angin kesan makanan yang dimakan.

“Bayangkan dalam satu kumpulan manusia, duduk dalam bilik kedap, salah seorang mereka bersendawa dengan bau durian atau petai. Perkara ini mungkin boleh mengguris jiwa dan perasaan mereka yang menghidunya,” jelasnya.

ELAKKAN diri daripada bersendawa di hadapan orang. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
ELAKKAN diri daripada bersendawa di hadapan orang. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Bagaimana pula jika kita sendawa semasa mendirikan solat?

Merujuk artikel Al-Kafi #836: Hukum sendawa di dalam solat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sendawa tidaklah membatalkan solat.

“Namun, ia merupakan satu perbuatan yang kurang adab di dalam solat, bahkan boleh membawa kepada hukum makruh sekiranya menghasilkan bau-bauan yang mengganggu para jemaah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Antara adab yang dianjurkan oleh Islam ketika bersendawa sebagaimana dipetik daripada portal Liputan6.com seperti berikut:

1. Merendahkan suara.

Saat bersendawa, rendahkanlah suara dan dilarang mengeraskan suara hingga mengganggu orang lain.

2. Tidak mendongak ke atas.

Sebaiknya, ketika bersendawa, tidak melihat atau mendongak ke atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin:

PERLAHANKAN suara ketika bersendawa dan tidak dilakukan di hadapan orang. -Foto: CANVA
PERLAHANKAN suara ketika bersendawa dan tidak dilakukan di hadapan orang. -Foto: CANVA

"Jika seseorang bersendawa, maka sebaiknya jangan mengangkat kepalanya ke atas meskipun kerananya mengakibatkan serbannya jatuh".

3. Membaca hamdalah (Alhamdulillah).

Setelah bersendawa, bacalah hamdalah dengan lafaz ‘Alhamdulillahi ‘ala kulli hal’ (Segala puji bagi ALLAH atas semua keadaan).

Walaupun sendawa tidaklah dilarang atau menjadi dosa, namun adab yang ditonjolkan ketika itu boleh mencerminkan kualiti dan akhlak kita.

Justeru, sama-samalah kita ikuti panduan yang diajar oleh agama suci itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!