Cuaca, sukar sesuaikan diri antara kes diterima unit kaunseling TH

Mewarna antara terapi di Unit Perkhidmatan Kaunseling buat jemaah haji di Tanah Suci.
Mewarna antara terapi di Unit Perkhidmatan Kaunseling buat jemaah haji di Tanah Suci.
A
A
A

MAKKAH – Sukar menyesuaikan diri dengan suasana baharu, perubahan rutin harian serta cuaca menjadi antara cabaran utama dihadapi segelintir jemaah haji sejurus tiba di Tanah Suci.

Pengurus Kaunseling Unit Perkhidmatan Kaunseling, Azlina Abd Wahid berkata, situasi itu lazim dialami jemaah haji terutama melibatkan mereka yang datang ke Tanah Suci seorang diri tanpa ahli keluarga.

Menurutnya, tempoh adaptasi bagi sesetengah jemaah mungkin mengambil masa, namun dengan sokongan dan pendekatan psikologi yang betul mereka mampu kembali tenang dan fokus terhadap ibadah.

Tempoh adaptasi sesetengah jemaah haji bagi menyesuaikan diri di Tanah Suci mungkin mengambil masa, namun dengan sokongan dan pendekatan psikologi yang betul mereka mampu kembali tenang dan fokus terhadap ibadah.
Tempoh adaptasi sesetengah jemaah haji bagi menyesuaikan diri di Tanah Suci mungkin mengambil masa, namun dengan sokongan dan pendekatan psikologi yang betul mereka mampu kembali tenang dan fokus terhadap ibadah.

“Biasanya kita akan tekankan kepentingan sikap toleransi dan berlapang dada terhadap persekitaran baharu. Ini termasuk membina hubungan baik dengan rakan sebilik dan di bangunan penginapan.

“Bagi yang datang sendirian, anggaplah teman sebilik dan jiran ini sebagai keluarga kecil sepanjang berada di sini. Kalau perlu bercerita atau perlukan bantuan, mereka inilah orang paling dekat. Ukhuwah ini bukan sahaja memudahkan kehidupan di sini, malah boleh berpanjangan sampai ke tanah air,” katanya kepada pemberita di Abraj Al Janadriyah di sini.

Tambah Azlina, Unit Perkhidmatan Kaunseling Tabung Haji (TH) menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu taklimat, lawatan silaturahim bilik ke bilik dan sesi kaunseling bersemuka.

“Setiap kali ketibaan kumpulan penerbangan (KT), kita akan masuk beri taklimat bersama pihak maktab untuk memperkenalkan fungsi unit dan memberi tip mengurus tekanan.

Artikel Berkaitan:

“Kemudian kita buat lawatan silaturahim ke bilik-bilik jemaah. Dari situ kita kenal pasti individu yang mungkin memerlukan sesi lanjutan kaunseling,” katanya.

Selain itu, katanya, TH turut menyediakan Talian Perkhidmatan Kaunseling (PEKA) di nombor 012-5706600 yang boleh dihubungi jemaah di Madinah atau Makkah sekiranya memerlukan bantuan emosi.

“Kita sudah menziarahi lebih 600 bilik jemaah. Rata-rata jemaah dalam keadaan baik, cuma ada yang alami ‘homesick’, rindu keluarga. Itu perkara biasa dalam proses menyesuaikan diri,” katanya.

Sedia dengar, bantu redakan tekanan

Mewarna antara terapi di Unit Perkhidmatan Kaunseling buat jemaah haji di Tanah Suci.
Mewarna antara terapi di Unit Perkhidmatan Kaunseling buat jemaah haji di Tanah Suci.

Mengulas lanjut, Azlina berkata, peranan utama unit tersebut bukan menyelesaikan masalah peribadi jemaah sepenuhnya, sebaliknya membantu mereka kekal tenang dan memberi fokus kepada ibadah.

“Kadang-kadang jemaah datang dengan beban dari tanah air, termasuk masalah rumah tangga atau tekanan kerja. Kita bantu mereka kendalikan tekanan itu supaya tak ganggu ibadah,” jelasnya.

Beliau juga memberi jaminan semua kes kaunseling dikendalikan secara profesional dan sulit oleh kaunselor berdaftar.

“Kes-kes ini difailkan sebagai dokumen sulit dan hanya diketahui oleh kaunselor yang terlibat. Jika perlu tindakan lanjut, barulah kita lapor kepada pengurusan. Di Malaysia pun kita simpan fail sulit ini,” katanya.

Fokus Arafah dan cabaran di Mina

Mengulas mengenai fasa mencabar sepanjang musim haji, Azlina berkata, tempoh paling kritikal adalah menjelang kemuncak ibadah wukuf di Arafah.

“Menjelang Arafah, ramai yang sudah sebulan di sini. Tekanan meningkat apabila jemaah makin ramai dan suasana makin sesak. Di Mina pula cabaran lain menanti. Tidak banyak aktiviti dan ini boleh ganggu emosi jemaah.

“Saya saran jemaah mengisi masa dengan aktiviti kendiri seperti membaca al-Quran, berzikir dan bermuhasabah, sebagaimana disarankan dalam 13 siri kursus asas haji yang telah diikuti sejak di tanah air,” katanya.

Azlina berkata, jemaah diingatkan sentiasa mengamalkan dua perkara asas iaitu bersyukur dan bersabar.

“Syukur kerana dipilih menjadi tetamu ALLAH. Sabar pula kerana ujian itu sebahagian daripada perjalanan ibadah,” katanya.

Tambah beliau, jemaah tidak perlu tunggu ‘masalah besar’ untuk mendapatkan bantuan kaunseling.

“Kadang-kadang rasa rindu pun boleh datang jumpa kami. Mungkin ada perkara lain tersembunyi di sebaliknya. Kami sedia bantu, agar ibadah haji mereka berjalan sempurna, insya-ALLAH,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!