Wanita sanggup berhenti kerja, jual sambal demi jaga bapa angkat uzur

SHAH ALAM - Seorang wanita nekad berhenti kerja demi menjaga bapa angkatnya dan memilih menjalankan perniagaan sambal secara kecil-kecilan bagi mencari pendapatan sendiri.
Salinah Adelinah Abdullah, 29, berkata, impiannya tercapai pada tahun ini untuk berhenti kerja dan memberi fokus kepada penjagaan bapanya, Ahmad Mohammed Tahir, 69, yang kurang sihat.
Menurutnya, dia melakukan semua itu disebabkan rasa tanggungjawab sebagai seorang anak perempuan tunggal dan sedang berjuang untuk memberikan layanan yang terbaik buat bapa tersayang.
"Semuanya bermula apabila sepanjang tahun lalu, ayah saya telah ditidurkan sebanyak tiga kali. Ia terjadi selepas menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedu. Akhirnya pada November lepas saya nekad untuk berhenti kerja sebagai eksekutif jualan di Melaka.
"Walaupun saya anak angkat yang telah dimaklumkan ayah sejak umur sembilan tahun, ia bukan penghalang untuk saya berkata tidak. Ayah dan ibu adalah segalanya bagi saya. Ibu saya telah meninggal dunia 2017 lalu akibat kanser," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah ibu kepada seorang anak itu, suaminya yang bertugas di Sabah banyak memberi semangat dan sangat memahami keadaan dirinya yang kini hanya mempunyai seorang bapa di dunia ini.
Ujarnya, ayahnya insan istimewa yang hanya diberi sebelah kaki berfungsi sejak lahir itu juga merupakan sahabat baik dan satu-satunya kawan yang dimiliki.
Menurutnya, berniaga sambal bersama ayah di depan mata lebih dari cukup buat mereka bagi menampung kehidupan sehari-hari.
“Andai ada rezeki sambal ini laris. Kita tak tau, kita buat je. Kita usaha selagi kita ada kudrat ALLAH beri.
“Hanya anak perempuan tunggal yang sedang bermatian berjuang untuk ayah terus sihat,” ujarnya.

Pesannya kepada insan bergelar anak, ALLAH hanya titipkan ibu dan ayah cuma sekali andai sudah tiada hilanglah penyeri dalam kehidupan.
"Jangan pernah lelah berbuat baik walaupun tak dilayan dengan baik untuk pengakhiran kita yang baik baik," ujarnya.
Menerusi video yang dikongsi di TikTok, wanita terbabit dilihat memapah bapanya untuk duduk ke kerusi roda bagi ke mana-mana memandangkan warga emas tersebut hanya mampu terlantar di katil sahaja.
Perkongsian videonya mendapat perhatian warga maya yang rata-rata kagum melihat usahanya menjaga bapa dengan kudrat seorang wanita demi memastikan warga emas itu kembali sihat.
Warganet juga menitipkan kata-kata semangat supaya wanita berkenaan terus kuat menempuhi ujian serta berasa bangga dengan baktinya kepada bapa walaupun dia merupakan anak angkat dalam keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

