Wanita 36 tahun nekad duduki SPM demi kejar impian jadi doktor

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berusia 36 tahun nekad menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini demi merealisasikan cita-citanya untuk menceburi kerjaya dalam bidang perubatan.
Usahawan, Rusni Shafiya Ruslan berkata, dia mengambil tiga mata pelajaran aliran Sains Tulen dalam peperiksaan tersebut melibatkan Biologi, Fizik dan Kimia.
Ujarnya, meskipun usia hampir mencecah 40-an namun, sokongan daripada keluarga dan rakan sekelilingnya menjadi pembakar semangat untuk mengejar impian menggalas tanggungjawab sebagai seorang doktor.
“Mak saya pun ada juga ketawa kecil bila saya kata nak ambil semula SPM, tapi adik saya yang merupakan doktor bedah, Dr Nur Hanisa Ruslan banyak memberi inspirasi dan semangat.
“Kenalan saya juga ramai dalam bidang perubatan. Mendengar perkongsian mengenai kerjaya mereka, membuatkan saya tertarik untuk tahu lebih lanjut tentang kehidupan di hospital dan dunia perubatan secara umum,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut Rusni Shafiya yang berasal dari Kluang, Johor itu, dia sudah menanam minat untuk melanjutkan pelajaran ke bidang berkenaan sejak kecil lagi.
Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, hasratnya terpaksa dibatalkan berikutan faktor kewangan dan komitmen keluarga ketika itu.
“Tahun ini saya putuskan untuk cuba juga. Sekarang, saya fokus untuk ambil semula subjek SPM yang penting seperti Biologi, Fizik dan Kimia.
“Selepas itu perancangan saya adalah untuk sambung ke peringkat asasi universiti. Saya lebih cenderung ke arah program berkenaan berbanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana ia lebih padat dan dekat dengan suasana pembelajaran di universiti.
“Kalau semuanya berjalan lancar, saya anggarkan masa paling cepat untuk saya tamat pengajian dalam bidang perubatan adalah enam tahun,” ujarnya.
Mengulas mengenai hala tuju kerjaya yang ingin diceburi, kata Rusni Shafiya, setakat ini masih tidak mempunyai perancangan khusus berkenaan perkara tersebut.
“Saya ada sedikit kecenderungan ke arah bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G) atau Pediatrik. Namun, saya terbuka untuk meneroka bidang lain sepanjang proses pembelajaran nanti.
“Saya percaya dengan usaha dan sokongan, impian saya boleh jadi kenyataan. Insya-ALLAH,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!