'Rasa Borneo' di tengah Masai

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Dibuka tiga hari seminggu, deretan gerai di Pasar Borneo menjadi medan pertemuan anak perantai dari Sabah dan Sarawak yang merindui rasa makanan kampung halaman.
Pasar yang riuh dan penuh warna-warni itu menjual pelbagai produk Borneo termasuklah terung asam Sarawak, jeruk bambangan, ikan masin terubuk dan sayur kampung.
Terletak di Taman Megah Ria, Masai, pasar berkenaan menjadi tumpuan bukan sahaja warga Malaysia Timur yang menetap di Johor, malah pengunjung tempatan yang ingin mencuba sendiri kelainan budaya Borneo.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Borneo dan Usahawan Kecil Sederhana Daerah Johor Bahru, Badong Sang berkata, tujuan utama pasar tersebut diwujudkan ialah untuk menyatukan komuniti dan membantu peniaga dari Sabah dan Sarawak mencari rezeki sambil memelihara identiti budaya.

“Dibuka sejak 2007, kami mahu sediakan platform untuk peniaga dari Malaysia Timur berniaga produk tempatan dari makanan tradisi sehinggalah ke hasil kampung. Inilah cara kami mengubat rindu pada tanah asal.
“Kini, pasar ini menempatkan lebih 50 peniaga yang berniaga secara tetap setiap minggu, membawa pelbagai jualan unik dari negeri masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.
Badong memberitahu, di Pasar Borneo bukan sahaja makanan tetapi hasil kraf tangan yang dibawa khas dari Sarawak juga turut dijual.
Ujarnya, antara barangan yang boleh didapatkan adalah seperti pakaian tradisional dan aksesori iaitu gelang manik, tango, gelang kaki dan banyak lagi.
Sementara itu, peniaga, Menti Anak Kapak, 53, berkata, Pasar Borneo bukan sahaja menjadi tempat mencari rezeki, malah tempat bergaul sesama anak perantau.
“Pasar ini buka setiap hari Rabu, Sabtu dan Ahad. Saya buka gerai seawal jam 6 pagi. Pelanggan daripada pelbagai kaum datang cari makanan Sabah dan Sarawak.
“Kita sambut mereka macam keluarga sebab pasar ini pun suasananya mesra dan selalunya orang ramai bila tiba musim buah tarap, di mana stok itu kita bawa dari Sarawak terus ke sini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Siti Maryam Abdullah, 60, mengakui pucuk ubi tumbuk yang dijual olehnya dan suami merupakan antara tarikan utama pelanggan ke gerainya.
Katanya, kebanyakan pelanggan akan bertanya mengenai kaedah memasak barang jualannya seperti sayur atau ulam segar dan ramai dalam kalangan mereka mengakui sudah ‘jatuh cinta’ dengan resipi yang dikongsi.
“Pucuk ubi ini ditumbuk guna lesung batu. Cara nak masaknya, tumis ikan bilis bersama bawang putih dan bawang besar. Nak letak bunga kantan serta buat masak lemak pun boleh.
“Proses nak tumbuk pucuk ubi tidak lama, dalam enam ke 10 minit sahaja. Bergantung kepada kuantiti daun yang kita letak. Kalau banyak, kita masuk sikit-sikit supaya tidak makan masa. Satu piring kita jual RM3 sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, pengunjung berasal dari Sabah, Ikhwani Ismail, 44, menyifatkan pasar tersebut sebagai penawar rindu kepada kampung halaman.
Dia yang juga seorang guru sudah menetap di Johor sejak lebih 20 tahun lalu.
“Makanan yang paling saya rindui ialah ikan sungai. Dekat sini (pasar), kita boleh dapat ikan segar. Macam hari ini saya memang berhajat nak beli ikan baung dan sayur kampung.
“Ini merupakan inisiatif yang bagus dilakukan sebab kami (anak Borneo) jarang balik ke negeri sendiri. Jadi, bila adanya pasar ini seolah-olah kami menjadi tetamu untuk negeri kami sendiri,” katanya.
Anak perantau dari Sarawak, Razali Abang, 43, pula berkata, dia sudah banyak kali datang ke pasar itu kerana sudah menetap di Johor lebih 20 tahun.
Menurutnya, harga yang ditawarkan juga berpatutan dan sesuai dengan kualiti serta kuantiti barangan dijual.
“Saya memang suka datang sini sebab mudah nak dapat barang yang ada di sana (Sarawak). Harga pun murah, tak mahal sangat sesuai dengan kos yang ditanggung mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

