Bekalan air di Johor Bahru dijangka pulih sepenuhnya lewat malam Jumaat

JOHOR BAHRU – Gangguan bekalan air yang melanda daerah ini sejak tiga hari lalu susulan kerosakan luar jangka pada pam utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor dijangka pulih sepenuhnya lewat malam ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerja-kerja pembaikan ke atas enam pam air yang mengalami kerosakan telah selesai sepenuhnya.
“Ketika kita memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, kerajaan juga tidak mengabaikan keperluan asas seperti bekalan air. Saya telah maklumkan kepada YAB Perdana Menteri bahawa di Johor, kadang-kadang timbul isu berkaitan air.
“Di daerah Johor Bahru, sudah tiga hari berlaku gangguan bekalan air kerana enam pam rosak, namun semuanya sudah dibaiki. Insha-ALLAH, menjelang lewat malam ini, semua rumah terjejas akan menerima bekalan air seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di Pusat Beli-Belah Toppen di sini pada Jumaat.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Pada Rabu lalu, kira-kira 100,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru terjejas apabila pam utama yang menyalurkan air ke LRA Sungai Johor mengalami kerosakan luar jangka, menyebabkan operasi loji itu dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh sebelum ini memaklumkan, gangguan tersebut menyebabkan sebanyak 318 juta liter air sehari (MLD) tidak dapat diagihkan kepada pengguna.
Sementara itu, Onn Hafiz ketika persidangan keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 semalam berkata, kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan bantuan tangki air dari daerah lain serta negeri-negeri berhampiran bagi mengurangkan impak gangguan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!