Nur Afiyah perlu dana RM120,000 untuk pembedahan jantung

Nur Afiyah
Nur Afiyah
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bayi baru lahir, Nur Afiyah Mohd Adnan memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM120,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Jantung bayi dari Kangar, Perlis itu dikesan dengan masalah truncus arteriosus, kecacatan septum ventrikel (VSD) dan kecacatan septum atrium (ASD) sejak dia dilahirkan pada 7 April lalu.

Bapanya, Mohd Adnan Raman, 35 berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu terpaksa dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) sejurus lahir kerana mempunyai masalah tertelan najis.

Menurutnya, Nur Afiyah yang lahir dengan berat 2.9 kilogram menerusi pembedah pada minggu ke-37 kehamilan terpaksa bergantung alat bantuan oksigen sejak dari itu.

Ibu bapa Nur Afiyah tampil ke One Hope Charity & Welfare bagi mendapatkan bantuan untuk pembedahan segera untuk anak mereka.
Ibu bapa Nur Afiyah tampil ke One Hope Charity & Welfare bagi mendapatkan bantuan untuk pembedahan segera untuk anak mereka.

"Doktor kemudian mengesahkan anak saya menghidap kecacatan jantung kongenital dan dia masih bergantung alat bantuan pernafasan sehingga kini.

"Tanpa melakukan pembedahan, peluang untuknya terus hidup amat tipis,” katanya baru-baru ini.

Menurut Mohd Adnan lagi, dia dan isteri, Ku Masrainy Ku Aziz, 38, amat berharap pembedahan Nur Afiyah dapat direalisasikan demi melihat bayinya itu membesar seperti anak perempuan mereka berusia 8 tahun yang mengalami masalah sama.

"Anak sulung telah menjalani pembedahan jantung semasa usia lapan bulan. Dia kini sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain.

Artikel Berkaitan:

"Namun, keadaan Nur Afiyah jauh lebih serius dan kami amat berharap bayi kami yang ketika ini kritikal dapat diselamatkan,” katanya lagi.

Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga berkenaan memerlukan bantuan dana RM120,000 untuk meneruskan pembedahan itu.

"Ibu bapa Nur Afiyah telah tampil memohon bantuan dan kita berbesar hati membantu mengumpul dana kerana mereka tidak berkemampuan.

"Bapanya bekerja sebagai pekerja pembersihan kontraktor pihak berkuasa tempatan dan ibunya suri rumah,"katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!