Ibu empat anak tinggalkan bayi baru lahir di kedai makan ditahan

Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai telah melahirkan bayi perempuan di dalam tandas seorang diri. - Foto PDRM Kangar
Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai telah melahirkan bayi perempuan di dalam tandas seorang diri. - Foto PDRM Kangar
A
A
A

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu kedai makan ditahan polis pada awal pagi Sabtu bagi membantu siasatan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah kedai makan di Sanglang, dekat sini pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek berusia 29 tahun itu dan ibu kepada empat orang anak yang masih kecil direman selama empat hari sehingga 5 Februari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan kejadian ini.

“Pada 18 Januari lalu, sekitar jam 6.30 petang, suspek melahirkan bayi perempuan di dalam tandas seorang diri tanpa bantuan di sebuah rumah di Simpang Empat, dekat sini.

“Pada 19 Januari pula, sekitar jam 4.30 pagi, suspek pergi ke sebuah kedai makan di Sanglang untuk membuang bayi tersebut.

"Suspek menaiki sebuah kenderaan jenis Myvi berwarna kuning milik rakannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Yusharifuddin, suami suspek pula kini berada di pusat tahanan serenti.

Menurutnya lagi, tangkapan dan rampasan melibatkan sebuah telefon bimbit jenis Redmi, satu SIM kad warna putih, satu keping memori kad warna hitam, satu gunting berwarna hijau, satu cadar berwarna coklat, putih dan sampel uri yang dibakar suspek.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,”ujarnya.

Pada 19 Januari lalu, polis menerima satu laporan penemuan seorang bayi perempuan dalam keadaan menangis di dalam beg plastik yang diletakkan di atas meja di sebuah kedai makan di Sanglang.

Hasil pemeriksaan oleh pakar perubatan dari Unit Pediatrik Hospital Tuanku Fauziah, dekat sini mengesahkan bayi tersebut merupakan bayi perempuan yang dijangka lahir antara 5 hingga 6 jam sebelum ditemui.

Bayi seberat 2.55 kg dan panjang 47 cm itu berada dalam keadaan cukup sifat dan sihat dan sehingga kini masih berada di Hospital Tuanku Fauziah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!