LPM sahkan sistem pam air PPR Krubong rosak sejak tiga bulan lalu

MELAKA - Masalah kerosakan sistem pam air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini disahkan berlaku sejak tiga bulan lalu sehingga memberi kesukaran pasukan bomba untuk memadam kebakaran di tingkat enam perumahan berkenaan pada Jumaat lalu.
Keadaan itu dipercayai menjejaskan bekalan air pili bomba ke tingkat tersebut sehingga didakwa mengorbankan nyawa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dalam kebakaran berkenaan.
Jurucakap Lembaga Perumahan Melaka (LPM) berkata, permohonan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan dianggarkan membabitkan kos RM200,000.
Menurutnya, penambahbaikan dijangka dapat dibuat pada Jun depan sebaik peruntukan diperoleh.
"Namun malangnya siapa sangka tragedi menyayat hati berlaku sebelum sempat kami memulakan kerja baik pulih.
"LPM mengambil serius kes ini dan akan menggunakan peruntukan dalaman bagi menyegerakan penambahbaikan demi keselamatan penduduk," katanya.
Dalam pada itu, jurucakap berkenaan menafikan dakwaan bahawa peralatan keselamatan kebakaran kawasan perumahan berkenaan tidak berfungsi.
Katanya, siasatan dalaman mendapati alat pemadam api berada dalam keadaan baik ketika pemeriksaan berkala dilakukan.
Terdahulu media melaporkan beberapa penduduk di PPR Krubong mendakwa alat pemadam api dan sistem gelong hos di Blok A tidak berfungsi dalam kebakaran petang Jumaat lalu.
Insiden itu meragut nyawa kanak-kanak lelaki, Muhammad Afizul Hakim Alias, 4, yang ditemukan meninggal dunia dalam bilik ketiga unit rumah di tingkat enam PPR berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!