Litar pintas dipercayai punca nenek, cucu rentung - Polis

KOTA KINABALU – Litar pintas dipercayai punca kebakaran melibatkan sebuah rumah sehingga menyebabkan dua rentung dalam kejadian di Kampung Pulau Penampang, Menggatal, di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu iaitu ahli keluarga dua mangsa tersebut.
“Pengadu memaklumkan bahawa semasa berehat di kaki lima rumah, dia terdengar bunyi letupan dari arah dapur sebelum menyedari bahagian dapur rumah telah terbakar.
“Pengadu bersama ahli keluarga lain cuba memadamkan kebakaran, namun api telah marak dengan pantas. Difahamkan ibu mentua dan cucu pengadu telah terperangkap dalam salah satu bilik tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kasim berkata, pihak keluarga segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat.
“Pasukan bomba dan polis tiba di lokasi lalu bertindak memadam kebakaran tersebut dan selepas api berjaya dikawal, dua mangsa ditemui dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati rumah tersebut dihuni seramai enam orang, terdiri seorang lelaki dan lima perempuan. Siasatan awal pihak bomba juga mendapati punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas dari bahagian dapur, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut,” katanya.
Kasim berkata lagi, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.
“Polis akan terus menjalankan siasatan terperinci dan merakam percakapan pengadu serta saksi berkaitan,” katanya.
Kasim dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan aspek keselamatan rumah diberi perhatian, terutama berkaitan dengan pendawaian dan penggunaan peralatan elektrik.
“Pastikan alat elektrik ditutup apabila tidak digunakan, elakkan penggunaan soket secara berlebihan dan jalankan pemeriksaan berkala ke atas sistem pendawaian rumah.
“Selain itu, sediakan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api dan rancang laluan keluar kecemasan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Tindakan awal dan kesedaran boleh menyelamatkan nyawa serta harta benda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!