'Undi saya merentasi kedua-dua kem'

Bahasa mudahnya, kita menipu diri kita sendiri. Parti menjadi hiruk-pikuk, kita katakan ini semua sebab kamu bukan sebab kami. Adakah kita fikir segalanya bermula tahun ini? Tidakkah kita tercari-cari bagaimana ia bermula dan apa puncanya?
Penggal 2022-2025 menjadi saksi, bagaimana pelbagai fraksi demi fraksi mula menyatu dengan menifestasi - jangan wujudkan kartel baharu. Dalam politik berpuak, ia bukan suatu yang mudah kabilah yang bertembung kini dalam satu payung.
Sesedara bayangkan di Cabang Rembau ketika itu bertembung lima penjuru (Pemilihan 2022) untuk jawatan Ketua Cabang, akhirnya menjadi satu lawan satu dalam pemilihan kali ini. Apa maknanya? Tidakkah keterlaluan jika saya katakan, kerana terbentuknya sebuah kartel baharu sama ada dalam sedar atau tidak sedar, dalam masa yang sama dituding pula ke pihak lain dengan istilah kartel hanya kerana beberapa tokoh sebelum ini berasal dari kartel.
Malah tergamak sungguh bila mana naratif kononnya Datuk Seri Azmin akan dibawa masuk dalam PKR jika Izzah menang, naratif yang terbina sebagai ‘call to action’ meraih undi, saling tak tumpah seperti gerombolan sebelah sana yang gemar memomokkan. Padahal Azmin itu sudah tersenarai sebagai 'Persona Non Grata' sekali dengan Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Zuraidah.
Kartel, istilah itu ditujukan buat mereka yang tidak bersama kamu. Tanpa sedar, terbentuk sebuah kartel yang bukan sekadar istilah.
Perihal ugutan, saya cuma mohon supaya dihentikan segera segala agenda bumi hangus atau bakar kelambu. Kerana ia secara tidak langsung juga telah membakar netizen dan walaun yang menyamar atas pagar menghina parti kita.
Jika tidak menang sekalipun, kamu masih menteri. Jika bukan tanggungjawab untuk parti sekalipun, kamu masih ada tanggungjawab untuk rakyat dan negara. Kerjalah demi negara kalau bukan demi Anwar sekalipun, demi aspirasi bina semula negara, melalui platform dan peluang yang tersedia.
Saya akan mengundi Izzah bukan kerana bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Izzah dan Anwar adalah dua orang pemimpin PKR, Izzah bukan hanya lahir berbinti Anwar semata, tetapi lahir dari sebuah kezaliman, lahir dalam perlawanan menentang diktator.
Kita dalam PKR selama hampir tiga dekad menyubur kesedaran umum betapa nepotisme itu begini dan begitu, bukan Anwar-Izzah, ini kepercayaan kita zaman berzaman bila disua konteks nepotisme. Namun kenapa hari ini, kita katakan kalau Izzah kalah maka itu penolakkan parti terhadap Anwar?
Undi saya untuk Izzah atas dasar penyatuan, ia sangat penting untuk PKR. Ia hak saya sebagai perwakilan, sambil tidak menafikan jasa pengorbanan Datuk Seri Rafizi.
Untuk Naib Presiden saya akan undi kedua-dua menteri besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Amiruddin Shaari, kerana bagi saya dua tokoh ini wajar menjadi Naib Presiden demi mengangkat keseimbangan parti. Saya juga akan mengundi Chang Lih Kang, seorang pemimpin yang berkaliber, cukup teruji kesetiaannya dan seorang yang berjiwa akar umbi.
Sesedara para pengundi Pemilihan 2025, undian saya ini merentasi pertembungan dua kem. Saya sayangkan PKR, sayangkan semangat reformasi untuk ubah negara ini jadi lebih baik.
Maka akhir kalam ini saya memohon agar sesedara yang mungkin tidak setuju dengan penulisan ini, agar setidaknya bersetuju untuk memberi undi di atas merit gerak kerja, dengan testimoni yang terbukti, tanpa cenderung kepada kabilah tertentu, bahasa mudahnya, undi jangan ikut cai, ikutlah yang terbaik bagi kamu, itu hak kamu.
Dalam PKR ini, ayuh kita anjurkan cinta, kepada rakyat masyarakat dan negara, kita tanam rasa cinta sesama kita, rasa sayang sesama kita, rasa sabar sesama kita, kita mampu melangkaui ego geram dendam yang jadi penentu untuk kita hidup segar bugar!
*Edy Noor Reduan ialah Penyandang Setiausaha Penerangan PKR Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
