‘Undi penentu masa depan PKR, jangan jual dengan harga murah’ – Nik Nazmi

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Lebih 30,000 perwakilan diingatkan supaya menggunakan kuasa undi sebaik mungkin bagi menjamin kelangsungan perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak lebih dua dekad lalu.
Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hak mengundi adalah milik mutlak setiap perwakilan dan tidak seharusnya ‘dijual’ dengan harga murah hanya kerana desakan, tawaran atau kempen yang dilakukan pihak tertentu.
“Orang boleh telefon tengah malam, berkempen macam-macam tapi akhirnya keputusan itu keputusan kita. Undi itu rahsia dan hak kita.
“Undi itu rahsia, saudara-saudara. Jadi saya harap kita gunakan kuasa tersebut. Jangan kita jual undi dengan begitu murah kerana inilah yang akan tentukan masa depan bagi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam siri Jelajah Hiruk Zon Selatan di New York Hotel di sini, pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, program Jelajah Hiruk merupakan inisiatif yang digerakkan bagi memastikan PKR kekal berpegang kepada idealisme reformasi, khususnya ketika berada dalam tampuk pemerintahan negara.
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut menegaskan bahawa pemilihan parti kali ini bukan sekadar soal jawatan, sebaliknya menjadi titik tolak kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya percaya bahawa undi ini ataupun pemilihan ini, saya bukan nak menidakkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.
“Saya, saudara Rafizi dan Nurul Izzah, kami bertiga merupakan sahabat sejak awal saya menyertai parti, lebih 20 tahun lalu tetapi buat masa ini, saya merasakan gandingan terbaik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah saudara Rafizi Ramli,” katanya.
Menurutnya, kejayaan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022 adalah hasil gandingan mantap tersebut ketika PKR berada pada tahap paling rendah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memberi jaminan bahawa beliau bersama pasukan kepimpinan akan terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti bukan semata-mata untuk jawatan, tetapi demi menjayakan agenda reformasi.
“Insya-ALLAH, dengan Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun), kami yang juga telah diberi amanah dalam Kabinet akan terus bekerja keras sekiranya diberikan semula kepercayaan.
“Bukan semata-mata untuk jawatan atau kuasa tetapi supaya agenda reformasi yang kita janjikan kepada rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

