[VIDEO] Anggota tentera berpangkat sarjan didakwa rogol, amang seksual pelajar

A
A
A

MELAKA – Seorang anggota tentera berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas lima tuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Zulfikar Ishak, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang telah bekerja selama 10 tahun didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun enam bulan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di kawasan parkir sebuah pasar raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 1 tengah hari pada 4 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh yang telah berkahwin didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 masing-masing bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan menyuruh mangsa memegang kemaluan lelaki itu di lokasi dan pada waktu serta tarikh yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut berdepan tuduhan mengikut Seksyen 12 AKSTK 2017 kerana melakukan pengantunan dengan berkomunikasi untuk mendorong mangsa melakukan aktiviti bersifat seksual.

Mohamad Zulfikar (tengah) mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan termasuk rogol di Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Mohamad Zulfikar (tengah) mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan termasuk rogol di Mahkamah Sesyen pada Selasa.

Dia juga dituduh mengikut Seksyen 13 AKSTK 2017 kerana berjumpa dengan mangsa selepas pengantunan dengan cara menjemput dan membawa keluar mangsa dari asrama Kem Terendak.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 12 AKSTK 2017, dan penjara tidak melebihi 10 tahun serta sebat di bawah Seksyen 13 akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM90,000 bagi kesemua lima pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga mangsa dan saksi pendakwaan sehingga selesai kes.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh yang merupakan penjawat awam telah berkhidmat selama 10 tahun adalah ketua keluarga yang menyara isteri dan anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi kesemua pertuduhan selain membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran pada 1 haribulan setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 26 Jun depan.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan tertuduh direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah kerana didakwa mencabul seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah berasrama penuh.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penahanan terhadap suspek yang telah berkahwin itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Sumber berkata, kejadian yang menimpa mangsa telah diketahui oleh ibu mangsa berusia 33 tahun pada Ahad lalu ketika memeriksa telefon bimbit anak sulungnya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!