TalentCorp lancar inisiatif pemerkasaan wanita

Shu Qi (dua dari kanan) ketika pelancaran WEPsCAL di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Shu Qi (dua dari kanan) ketika pelancaran WEPsCAL di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dengan kerjasama UN Women dan LeadWomen melancarkan inisiatif libat urus Tindakan Korporat Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPsCAL) bagi mencapai matlamat kesaksamaan jantina dalam tenaga kerja di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, program utama di bawah platform Makmal Tindakan Gender UN Women itu turut mendapat sokongan Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia.

"WEPsCAL bagi kohort pertama melibatkan 11 syarikat yang secara sukarela bersedia melangkaui polisi dasar dengan menyediakan tempat kepada golongan wanita dalam syarikat.

"Kami percaya kolaborasi awam-swasta ini mampu mencapai sasaran 60 peratus penyertaan wanita dalam tenaga kerja di Malaysia," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran WEPsCAL di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.

Dalam pada itu, Shu Qi memaklumkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja Malaysia mencatatkan 56.2 peratus pada suku keempat tahun 2023.

Justeru, menurutnya, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk meningkatkan empat peratus penyertaan golongan itu amat diperlukan, sekali gus mempercepatkan sasaran kadar penyertaan yang ditetapkan.

Menurut Ahli Parlimen Kluang itu, kerajaan menerusi Bajet 2025 juga telah memperkenalkan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja bermula tahun ini hingga 2027.

Artikel Berkaitan:

Shu Qi (tujuh dari kanan) bersama wakil 11 syarikat yang terlibat dalam WEPsCAL. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Shu Qi (tujuh dari kanan) bersama wakil 11 syarikat yang terlibat dalam WEPsCAL. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Selain itu, pengurangan 50 peratus cukai bagi majikan yang melaksanakan pengaturan kerja yang fleksibel (FWA) termasuk perbelanjaan kos pembangunan kapasiti dan perolehan yang dihadkan sehingga RM500,000," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, beliau memaklumkan antara 11 syarikat yang terlibat dalam kohort pertama adalah AirAsia Aviation Management Services Sdn Bhd, FGV Holdings Berhad, Grant Thornton Malaysia PLT, HAYS Malaysia, Kiddocare Sdn Bhd dan Mastrak Sdn Bhd.

Menurutnya, penyertaan semua syarikat terlibat merupakan titik permulaan penting dalam komitmen kolektif untuk memperkasa wanita di seluruh Malaysia.

"Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, pelancaran WEPsCAL menandakan satu langkah besar dalam memperkukuhkan kesaksamaan jantina dalam landskap tenaga kerja di negara ini.

"Kami yakin inisiatif ini akan memperkasakan syarikat untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih inklusif dan saksama sekali gus menyumbang kepada ekonomi dengan penyertaan penuh wanita," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!