Pelabur JS-SEZ setuju tawar gaji premium kepada tenaga kerja tempatan – Onn Hafiz

ONN HAFIZ
ONN HAFIZ
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor Selatan (JS-SEZ) bersetuju menawarkan gaji premium kepada tenaga kerja tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persetujuan itu bagaimanapun tertakluk kepada dua syarat utama iaitu tahap produktiviti serta kemahiran teknikal yang sepadan dengan kadar gaji ditawarkan.

“Antara perkara utama yang dibangkitkan semasa sesi libat urus oleh Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bersama pelabur ialah soal gaji dan peluang pekerjaan.

“Di peringkat Persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menetapkan komposisi pekerja sektor pembuatan 80 peratus tempatan dan 20 peratus asing.

“Di peringkat negeri pula, kita menggalakkan pelabur menetapkan gaji minimum sekitar RM3,500 untuk pemegang diploma dan RM4,000 ke atas bagi pemegang ijazah,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar pada Selasa.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan) berhubung ketetapan kerajaan negeri terhadap pengambilan pekerja tempatan dan penetapan tangga gaji setara atau hampir setara dengan Singapura.

Menurut Onn Hafiz, majoriti pelabur yang memilih Johor sebagai destinasi pelaburan menyokong hasrat kerajaan itu dan bersedia bekerjasama dalam penyediaan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Sebagai contoh, beliau berkata sebuah syarikat dari China yang telah melabur RM500 juta pada fasa pertama komited untuk meningkatkan pelaburan sehingga RM3 bilion dalam fasa seterusnya.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga bersetuju menubuhkan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), selain memastikan kilang yang dibangunkan dipenuhi anak muda Johor yang berkelayakan.

“Ini antara usaha berterusan kerajaan negeri memastikan rakyat menerima manfaat langsung daripada pembangunan ekonomi JS-SEZ, khususnya peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menafikan dakwaan bahawa pelaksanaan JS-SEZ menjadi punca peningkatan kos sara hidup di Johor.

“Isu inflasi dan kos sara hidup adalah cabaran global dan nasional yang tetap berlaku, sama ada JS-SEZ dilaksanakan atau tidak.

“Kerajaan negeri terus komited menangani kesan tersebut melalui pelbagai inisiatif seperti Program Bakul Rakyat, Jualan Kasih, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) serta kawalan barangan bersubsidi,” katanya.


8 projek tebatan banjir sedang dilaksana di Johor

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak lapan daripada 11 projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi di Johor sedang giat dilaksanakan, membabitkan enam daerah utama iaitu Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Johor Bahru.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tiga lagi projek masih di peringkat pra-pelaksanaan dengan rundingan reka bentuk dan kajian teknikal sedang dijalankan.

Antara projek yang sedang berjalan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3, Pakej 1 di Segamat yang melibatkan kerja menaik taraf Sungai Muar dari pertemuan Sungai Jementah hingga Sungai Labis dengan kos RM461 juta.

“Turut dilaksanakan ialah RTB Sungai Muar Fasa 3, Pakej 2 di Segamat yang meningkatkan kapasiti Sungai Labis, Sungai Jementah dan cabangnya dengan nilai RM70.95 juta serta RTB Bandar Batu Pahat bernilai RM187.17 juta.

“Dua lagi projek di Kota Tinggi pula ialah RTB Sungai Johor Fasa 1, Pakej 1 melibatkan pembinaan kolam takungan dan kerja naik taraf Sungai Johor bernilai RM376 juta, manakala Pakej 2 bagi menambah baik Sungai Johor dan cabangnya bernilai RM74.2 juta,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup), Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) dan Marina Ibrahim (PH-Skudai) mengenai status semasa projek rancangan tebatan banjir dan langkah mempercepatkan pelaksanaannya.

Tambah beliau, kelima-lima projek di Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi yang dimulakan pada 2024 dijangka siap pada 2029, namun berkemungkinan siap lebih awal iaitu Disember 2027.

Selain itu, kerja-kerja memperkukuh struktur empangan tebatan banjir Semberong di Batu Pahat dengan kos RM33 juta dijangka siap pada Julai 2028.

Di Tangkak pula, projek RTB Lembangan Sungai Kesang bernilai RM24.8 juta sedang dilaksanakan sejak Ogos 2023 dan dijangka siap Ogos 2025.

“Projek RTB Sungai Pemandi di Kota Tinggi dengan kos RM29.73 juta juga dijangka siap tahun depan,” katanya.

Sementara itu, tiga projek dalam peringkat pra-pelaksanaan ialah RTB Sungai Muar Fasa II di Muar/Tangkak bernilai RM331 juta, dijangka memulakan rundingan reka bentuk pada Jun 2025; RTB Sungai Batu Pahat (Seri Medan) bernilai RM56.7 juta bermula Julai 2025; dan kajian pembangunan Lembangan Sungai Skudai bernilai RM9 juta yang akan bermula Oktober 2026 selama 12 bulan.

Menurut Mohamad Fazli, kerajaan negeri turut meluluskan sembilan projek tebatan banjir lain bernilai RM15.53 juta di daerah Tangkak, Pontian, Kulai, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Johor Bahru.

“Kerajaan negeri juga dalam perancangan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berjumlah RM2.23 bilion serta RM60.38 juta menerusi kerajaan negeri bagi pelaksanaan kerja-kerja menangani banjir.

“Tujuh projek bagi menangani ‘hotspot’ banjir sedang dilaksanakan khususnya di bandar raya Johor Bahru dengan nilai RM142.7 juta,” katanya.

Sebagai penyelesaian menyeluruh, katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Rolling Plan Ke-5 Rancangan Malaysia Ke-12 juga telah meluluskan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Skudai dengan kos RM99 juta.

“Projek ini meliputi kawasan berisiko banjir dalam Lembangan Sungai Skudai termasuk Kampung Poh Chi Lin, Kampung Sepakat Baru, Kampung Laut dan Kampung Syahbandar. Ketika ini, projek berada di peringkat pelantikan perunding dan kerja fizikal dijangka bermula 2027,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!