Sumpahan kerusi Timbalan Presiden PKR


SHAH ALAM – Sejak tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) 26 tahun lalu, jawatan Timbalan Presiden parti itu sering kali mencetuskan kontroversi dan polemik yang hampir menggoncangkan struktur parti reformasi berkenaan.
Hal ini demikian kerana beberapa tokoh berprofil tinggi yang pernah menyandang jawatan tersebut terpaksa meninggalkan parti, menerima kritikan hebat, atau mengundurkan diri dari arena politik akibat tekanan dan konflik dalaman.
Menyingkap kembali sejarah PKR, antara nama terkemuka yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden ialah bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali, yang dilantik pada tahun 2003 selepas penggabungan PRM dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Beliau menyandang jawatan itu sehingga 2010 sebelum memberi laluan kepada pemimpin generasi baharu.
Sebelum penggabungan tersebut, tokoh awal gerakan Reformasi, Dr Chandra Muzaffar, dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan (ketika itu belum dinamakan PKR) bermula tahun 1999.
Selepas pengunduran Dr Syed Husin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan Timbalan Presiden PKR pada tahun 2010 dan muncul sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam parti. Pengaruh Ahli Parlimen Gombak itu semakin terserlah apabila beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun 2013, menggantikan penyandang ketika itu, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Namun, Azmin kemudiannya meninggalkan jawatan Menteri Besar setelah dipecat oleh parti kerana mengingkari arahan untuk meletakkan jawatan semasa krisis politik ‘Langkah Kajang’.
Pasca pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Azmin yang dahulu dilihat sebagai hero parti, berubah menjadi watak kontroversi selepas didakwa bersekongkol dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk melengahkan peralihan kuasa kepada Ketua Umum PKR ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan perkembangan itu, pada tahun 2018, Setiausaha Agung PKR ketika itu, Rafizi Ramli (kini bergelar Datuk Seri) mencabar Azmin bagi jawatan nombor dua parti, sekali gus mencetuskan konflik besar yang hampir memecah-belahkan parti.
Pertembungan ini bukan sahaja mencetuskan ketegangan, malah memberi kesan besar terhadap kestabilan dalaman PKR. Walaupun Azmin berjaya mempertahankan jawatan, imej dan reputasinya dalam kalangan pimpinan serta akar umbi parti semakin tercalar.
Ketegangan antara beliau dan Anwar semakin meruncing sehingga tercetusnya peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH 1.0. Azmin bersama beberapa Ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti dan menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berdasarkan nasib yang menimpa Dr Chandra dan Azmin, jawatan Timbalan Presiden PKR seolah-olah dilihat sebagai satu ‘sumpahan’ kepada penyandangnya. Kini, nasib yang sama seolah-olah menyelubungi Rafizi Ramli, yang kini menjawat jawatan Menteri Ekonomi.
Rafizi, yang kembali ke tampuk kepimpinan selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti tahun 2022, menerima kritikan dari dalam dan luar parti berhubung pendekatan beliau dalam menangani isu ekonomi serta komunikasi dasar kerajaan.
Kemasukan semula Rafizi sepatutnya memberi nafas baharu kepada PKR selepas kejatuhan kerajaan PH, terutamanya melalui gandingan bersama Nurul Izzah Anwar menerusi kempen ‘Ayuh Malaysia’. Usaha mereka berjaya membantu PH kekal relevan pada PRU15 apabila memenangi 82 kerusi Parlimen.
Kemenangan itu menyaksikan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti lain.
Namun, permasalahan dalaman PKR menyaksikan Rafizi kini dianggap sebagai ‘duri dalam daging’ parti, memaksa beliau mengambil pendekatan lebih agresif untuk mempertahankan integritinya.
Natijahnya, pertembungan Rafizi dan Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan akan datang dilihat sebagai pertarungan besar — yang menurut Rafizi berlangsung di "padang yang tidak rata."
Di atas kertas, Nurul Izzah, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, dilihat sebagai calon pilihan dengan sokongan padu daripada lebih 150 cabang dan sayap parti. Namun begitu, persoalan utama adalah sama ada beliau mampu menamatkan ‘sumpahan’ kerusi nombor dua ini — atau sekadar mengulangi nasib pendahulunya.
Sekiranya menang, Nurul Izzah perlu membuktikan keupayaan untuk merapatkan jurang dan mengekalkan kestabilan dalam parti, selain menolak persepsi bahawa pencalonannya berpunca daripada nepotisme, memandangkan beliau ialah anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri.
Beliau menegaskan bahawa pencalonannya adalah berdasarkan pengalaman dan komitmennya sejak era awal Reformasi. Sokongan besar daripada akar umbi juga dilihat sebagai bukti keyakinan terhadap kepimpinan dan prinsip perjuangannya.
Namun, hakikat status beliau sebagai anak Anwar tetap menjadi persoalan — sama ada itu satu kelebihan atau beban tambahan dalam menghadapi tekanan politik yang bakal ditempuhi.
Jawatan Timbalan Presiden PKR bukan sekadar gelaran, tetapi amanah besar yang menguji daya tahan, kebijaksanaan, dan keikhlasan. Sejarah telah membuktikan bahawa kegagalan mengurus tekanan dan perbezaan dalaman sering kali berakhir dengan pengunduran atau perpecahan.
Sekiranya Nurul Izzah diberi mandat, beliau perlu mengembalikan maruah dan kredibiliti jawatan yang selama ini dibayangi kontroversi.
Sama ada ‘sumpahan’ itu benar-benar wujud atau hanya siri ulangan krisis dalaman — segalanya bergantung kepada pendekatan kepimpinan yang bakal beliau tampilkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!