X

Kindly register in order to view this article
!

'Anwar, Dr Mahathir lebih baik berundur'

Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar
A
A

CENDEKIAWAN sains politik, Dr Chandra Muzaffar ialah sahabat baik Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998. Chandralah antara orang yang paling kuat membelanya. Malah Chandra sendiri dipilih menjadi Timbalan Presiden pertama Keadilan (kini PKR) iaitu parti yang ditubuhkan untuk menyambung sisa-sisa perjuangan Anwar.

Bagaimanapun dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Chandra berterus terang mengatakan bahawa Presiden PKR itu harus bersara daripada dunia politik, begitu juga Dr Mahathir.

Katanya, krisis peralihan kuasa yang menyaksikan tumbangnya kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan baru-baru ini sebahagian besarnya berpunca daripada cita-cita dan perseteruan antara dua lelaki ini iaitu Anwar dan Dr Mahathir.

Dalam wawancara selama hampir dua jam bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, Timbalan Pengarang Berita, Zuki Pileh dan wartawan Mohd Hafiz Ismail Chandara juga menekankan betapa pentingnya peranan raja-raja dalam menyelesaikan persaingan politik di negara ini.

SINAR AHAD: Apa yang Dr nampak daripada situasi yang berlaku?

CHANDRA: Ia suatu yang luar biasa, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kita. Apa yang positif dalam perkembangan ini ialah kejatuhan sebuah parti politik yang dipilih secara demokratik 22 bulan lalu. Ia dipilih untuk menggantikan suatu gabungan yang berkuasa selama 61 tahun.

Dari segi politik dan demokrasi, ini adalah suatu yang luar biasa kerana perubahannya yang begitu besar. Ia berlaku tanpa pertumpahan darah, tanpa keganasan dan tidak pernah berlaku di tempat-tempat lain. Saya menganggapnya sebagai pencapaian terbesar, bukan soal siapa menang siapa kalah.

Kita telah mencapai satu perubahan yang begitu bermakna dari segi politik. Begitu juga apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu ini, peristiwa Pakatan Harapan tumbang dan digantikan oleh gabungan baharu. Perubahan ini juga berlaku tanpa pertumpahan darah. Sekali lagi parti politik yang dipilih, yang berkuasa tiba-tiba tumbang. Tetapi kali ini proses perubahan berlaku melalui rundingan, melalui usaha mencari kawan baharu, ketepikan kawan lama. Ini juga satu yang luar biasa.

Peristiwa ini mencerminkan apa?

Ia mencerminkan dua perkara. Pertama, ada institusi dan proses politik di negara kita yang boleh menangani perubahan secara matang. Kedua, kematangan rakyat kita selepas 62 tahun proses demokrasi berlangsung di negara ini. Inilah dua perkara yang bagi saya sangat tertonjol.

Saya juga ingin menekankan satu lagi aspek pemerintahan Malaysia yang jarang diberi perhatian. Kita selalu sebut tiga cabang pemerintahan yang penting iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Tetapi di negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kita ada satu lagi cabang, dan peranan cabang keempat itu jelas dalam krisis yang berlaku iaitu Majlis Raja-Raja.

Saya berani mengatakan peranannya itu penting dalam menyelesaikan krisis pelantikan Perdana Menteri yang baharu. Agong dan raja-raja lain mengadakan persidangan di tengah-tengah krisis di mana mereka menyokong keputusan Agong.

Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar
Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar

Dalam arena politik yang ada pesaing-pesaing dan konflik, di negara kita ada sebuah institusi yang kedudukan dan peranannya melebihi persaingan politik. Oleh sebab kedudukannya melebihi apa yang berlaku dalam gelanggang politik, institusi itu dapat memainkan peranan sebagai penyelesai persaingan.

Adakah fungsi Majlis Raja-Raja telah ketara dalam krisis-krisis sebelum ini atau hanya ketara dua minggu yang lepas?

Ia kelihatan lebih ketara dalam dua minggu lepas. Tetapi kita tahu selepas peristiwa 13 Mei 1969, raja-raja juga memainkan peranan. Mereka menyokong Majlis Gerakan Negara yang dipengerusikan Tun Abdul Razak, menyokong darurat, dan menyokong apa yang dilakukan oleh pelaku-pelaku politik pada masa itu. Majlis Raja-Raja selepas peristiwa 13 Mei juga memainkan peranan dalam mengembalikan negara kepada demokrasi iaitu selepas keadaan kembali tenang.

Saya ingin tegaskan ada tiga aspek pemerintahan kita yang sekali lagi menunjukkan kita lebih matang daripada sistem-sistem politik yang lain. Salah satunya ialah peralihan kuasa yang begitu teratur selama 62 tahun ini. Kali ini ada krisis sedikit tentang peralihan kuasa. Kedua, kita juga mencapai perubahan dalam politik dari segi penggantian pemimpin tanpa keganasan berbanding negara lain. Ketiga kita mencapai persetujuan tentang perkongsian kuasa dari awal lagi sebelum merdeka.

Perkongsian kuasa ini bukan saja antara kaum tetapi juga antara negeri-negeri dan Pusat, antara institusi iaitu raja dan mereka yang dipilih. Perkongsian kuasa berlaku dalam beberapa dimensi. Kita mencapai persetujuan atas perkongsian kuasa yang kekal.

Sistem ini tidak dicabar oleh sesiapa pun. walaupun mereka tak setuju atas soal-soal tertentu namun mereka terima ini adalah sebahagian daripada politik negara kita, khususnya antara kaum yang begitu sulit di tempat-tempat lain. mereka juga demokrasi tetapi gagal dalam isu perkongsian kuasa. Fiji gagal. Walaupun keadaan demografi kaum kita lebih kompleks daripada Sri Lanka ataupun Fiji, kita berjaya dari segi perkongsian kuasa.

Isu peralihan kuasa pernah tercetus sebelum ini. Yang saya maksudkan ialah apa yang berlaku pada tahun 1998 dan 1999, yang sekali lagi melibatkan dua pelaku yang sama iaitu Dr Mahathir dan Anwar. Pada masa itu, Dr Mahathir sebenarnya sedang membuat persiapan untuk berundur.

Dia ambil cuti tiga bulan, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya. Dia juga mempersiapkan Anwar untuk mengambil alih. Anwar pada masa itu digelarkan sebagai Pemangku Perdana Menteri. Dalam tempoh itu, Mahathir sedang dalam proses untuk memindahkan kuasanya kepada Anwar. Tiba-tiba tercetus krisis kewangan yang di luar kawalan mereka. Dr Mahathir terpaksa memikul tanggungjawab.

Saya begitu rapat dengan Anwar pada masa itu. Kesilapan besar Anwar adalah apabila beliau cuba mencabar Dr Mahathir. Ketika negara sedang menghadapi krisis dan Dr Mahathir sebagai kapten kapal, menghadapi cabaran daripada orang keduanya. Malah, ada usaha untuk mengetepikan Dr Mahathir, menerusi ucapan-ucapan tertentu.

Ini yang ubah sama sekali hubungan antara Dr Mahathir dan Anwar. Bagi Dr Mahathir, perkara itu tidak boleh dimaafkan, kerana yang masukkan Anwar ke dalam UMNO adalah Dr Mahathir, yang beri segala perlindungan dalam usaha Anwar muncul sebagai pemimpin UMNO ialah Dr Mahathir. Tiba-tiba ketika negara sedang menghadapi krisis kewangan, Anwar mahu mencabarnya.

Anwar pada masa itu mengikut contoh Indonesia, padahal keadaan Indonesia dan Malaysia jauh berbeza. Itulah kekhilafan Anwar yang paling besar. Selepas itu barulah timbul hal salah laku seks, tetapi itu adalah reaksi kepada soal kuasa tadi.

Apakah yang istimewanya jawatan Perdana Menteri itu sehingga perebutan jawatan itu begitu tegang dan bersungguh-sungguh?

Memang jawatan itulah yang paling tinggi di negara kita. Jawatan yang paling berkuasa. Tetapi ini berlaku kerana pelaku-pelaku, bukan kerana jawatan. Kerana dulu ada peralihan dalam jawatan ini tetapi tak berlaku seperti ini. Antara Dr Mahathir dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), antara Pak Lah dan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), tidak berlaku macam ini. Soal pelaku ini adalah apa yang kita baru bincang.

Saya anggap masalah antara Anwar dan Dr Mahathir adalah masalah kurang percaya. Walaupun mereka bergabung, bekerjasama untuk menyingkirkan Najib tetapi kerjasama itu tidak dapat mengetepikan syak-wasangka itu. Itulah yang menjadi punca masalah dua individu ini.

Bagi Dr Mahathir, Anwar pernah melakukan sesuatu yang tidak boleh diterima oleh mana-mana pemimpin. Bagi Anwar pula kerana dia dimasukkan ke dalam penjara dan tuduhan-tuduhan terhadap beliau, sehingga keluarganya sendiri menderita. Penderitaan itu luar biasa, satu keluarga dan beberapa saudara mereka yang terlibat. Keyakinan begitu rendah, itulah punca krisis.

Apakah tanpa Anwar dan Dr Mahathir, ketegangan politik akan reda?

Dari satu segi memang benar. Politik negara sejak awal dasawarsa 1980-an didominasi oleh dua individu ini iaitu Anwar dan Dr Mahathir. Walaupun ada kebaikan dari segi sumbangan masing-masing, tetapi pada hemat saya lebih baik kepada negara jika kedua-duanya berundur daripada politik dan beri peluang kepada orang lain. Muhyiddin daripada generasi Anwar, umur kedua-duanya sama 73 tahun. Saya tidak boleh anggap Muhyiddin daripada generasi baru tetapi dari segi masalah politiknya berbeza daripada Anwar dan Dr Mahathir.

Ahli-ahli politik biasanya tidak suka mereka diberi nasihat begini - harus berundur. Bagi mereka persaraan tiada dalam kamus mereka. Dr Mahathir sendiri tidak tahu makna persaraan. Tetapi ahli politik yang dapat memikirkan sesuatu dari sudut yang lebih luas dan dapat memahami keadaan, akan membuat keputusan dari masa ke masa iaitu berundur. Yang saya maksudkan bukan Anwar semata-mata, Dr Mahathir dan Lim Kit Siang juga begitu.

Selain pertembungan antara dua personaliti iaitu Anwar dan Dr Mahathir apakah faktor lain yang menyebabkan Pakatan Harapan runtuh selepas 22 bulan?

Sekurang-kurangnya ada tiga faktor yang menyumbang kepada keruntuhan PH. Pertama, hubungan antara keempat-empat parti komponen PH begitu rendah. Mereka mempunyai latar belakang ideologi, sokongan politik dan intelektual yang begitu berbeza. Tetapi tiada usaha yang tersusun untuk memperkuat hubungan antara parti yang berbeza ideologi dan latar belakang sejarah terutamanya selepas PRU-14. Ini adalah masalah besar PH.

Kedua, saya nampak PH memang ada pencapaian tetapi mereka gagal dari segi komunikasi politik. Mereka melakukan sesuatu, tetapi tidak disampaikan kepada rakyat kenapa mereka berbuat demikian. Ada banyak reformasi yang dibuat dari segi sistem Parlimen, pilihan raya dan pentadbiran. Umpamanya Pengerusi PAC daripada pembangkang, ini memang berlaku di negara-negara lain tetapi di Malaysia sejak merdeka individu yang mengetuai PAC adalah daripada ahli Parlimen kerajaan. Dari segi pengundian, kita turunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, itu juga suatu yang penting dari segi demokrasi. Namun, pencapaian ini tidak diterangkan.

Sekurang-kurangnya ada tiga faktor yang menyumbang kepada keruntuhan PH. Pertama, hubungan antara keempat-empat parti komponen PH begitu rendah.

Ketiga, bagi mereka yang mengundi PH dalam PRU-14, harapan besar mereka bukan soal ketulusan soal akauntabliti, itu penting dari segi pentadbiran dan pemerintahan, tetapi bagi mereka sebagai rakyat dan pengundi yang penting itu adalah kos sara hidup dan peluang pekerjaan atau apa yang dipanggil politik perut.

Apakah Dr melihat ada bentuk iri hati, cemburu dalam PH khususnya apabila Dr Mahathir melantik Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, jawatan yang amat kanan, menyebabkan PH ada masalah?

Saya berpendapat PH dari segi sokongan Melayu pada PRU-14 adalah terbatas. Menurut angka tertentu, 95 peratus Cina dan 75 peratus India menyokong PH pada 9 Mei. Itu satu angka yang besar. Tetapi Melayu yang menyokong PH mengikut beberapa sumber sekitar 27 peratus sahaja.

Bermakna sokongan Melayu kepada PH pada saat kemenangannya juga tidak begitu tinggi. Oleh kerana itulah latar belakangnya, isu-isu seperti siapa Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara akhirnya menjadi isu. Kita tidak harus kaitkan ini dengan kaum. Jangan lupa pada suatu masa dulu kita ada Menteri Kewangan Cina yang pertama dan kedua. Tidak ada tuduhan pun mereka ini menganaktirikan Melayu kerana soal bajet itu perlu diluluskan oleh pihak-pihak lain.

UMNO buat pertama kali hilang kuasa di peringkat pusat dan terpaksa menjadi pembangkang. Jadi iri hati mungkin salah satu segilah. Bila hilang kuasa mereka bangkitkan macam-macam isu. Selain itu, jangan lupa bahawa kalau kita tengok sejarah politik, pertalian Melayu sebagai bangsa dan pertalian dengan politik itu sangat istimewa.

Kita wujud daripada sistem politik Melayu seperti kesultanan dan sebagainya. Kalau kita tiba-tiba memberi gambaran bahawa atas nama kesamarataan keadilan kita macam tak kisah siapa yang pegang jawatan mana dan sebagainya, ini soal sensitif. Kita harus menanganinya dengan matang. Itulah sebabnya isu-isu ini jangan kita kaitkan dengan kaum dan agama tetapi pada masa yang sama kita mesti peka kepada perasaan masyarakat.

Contohnya, atas nama penyusunan semula ekonomi dan mengurangkan defisit, kita potong subsidi kepada penoreh getah, nelayan dan peneroka Felda. Pada saya itu langkah yang kurang matang. Sebab itu ada reaksi, mereka menganggap diketepikan dan tidak diberi perhatian walhal bagi mereka ini bukan subsidi, ini survival.

Contoh lain, Menteri Kewangan buat kenyataan rasmi dalam bahasa Cina, tak matang langsung kerana kita tahu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Atau ucapan Menteri Sumber manusia tentang perkembangan sejarah di rantau ini, yang memang menyakiti sebahagian besar bukan saja masyarakat Melayu tetapi mereka yang memahami sejarah.

Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar
Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar

Saya tidak mahu mengatakan mereka langsung tidak sensitif tetapi ada beberapa peristiwa tertentu yang melemahkan kedudukan mereka kerana tidak sensitif. Begitu juga saya nampak mereka sentiasa mengulangi amaran dari masa ke masa agar kita jangan mainkan isu kaum dan agama, seolah-olah mereka tujukan perkara itu kepada masyarakat Melayu.

Walhal cuba renungkan keadaan ini - kenapa 95 peratus Cina dan 76 peratus India menyokong PH. Adakah kerana mereka mahu sistem pemerintahan yang bersih, cekap, adil dan beramanah semata-mata? Mungkin ia salah satu faktor. Tetapi pada hemat saya isunya lebih kompleks.

Bagi sebahagian bukan Melayu - Cina mahupun India yang menyokong PH, mereka menganggap jatuhkan UMNO khususnya, adalah satu usaha untuk mengakhiri pemerintahan Melayu. Ini fakta, tapi orang tidak berani cakap perkara seperti ini. Inilah kesilapan besar. Sikap dan kecenderungan ini dalam politik bukan Melayu adalah produk politik DAP dan politik PAP, bapa kepada DAP dari dulu.

Dari dulu lagi DAP mengatakan bahawa bukan Melayu masyarakat kelas kedua, mereka dianiaya, dipinggirkan, dianaktirikan, tidak diberi hak dan macam-macam lagi propaganda. Hasil propaganda inilah yang membawa kepada kemenangan PH pada 9 Mei itu. Dalam kalangan Melayu pula mereka tak faham tentang bukan Melayu. Sebagai warganegara sekiranya anak mereka tak dapat masuk universiti atau tak dapat pekerjaan atau kecekapan serta kemahiran mereka tidak diiktiraf, itu tidak adil juga. Orang Melayu juga harus memahami mereka. Itu adalah masalah besar di negara kita.

Adakah politik baharu ini telah mengubah politik asal kita yang berasaskan kaum dan agama?

Soal agama, keturunan, kaum, warisan - apa yang disifatkan sebagai politik identiti, akan mencabar politik berbilang kaum di mana-mana pun. Kita tidak boleh menghilangkannya, ia akan terus wujud. Soalnya, bagaimana kita mahu menangani politik identiti. Apakah visi dan kefahaman kita tentang identiti itu sendiri. Pihak yang mengatakan buang politik kaum, buang politik agama, mereka ini tidak realistik. Di negara mana pun termasuk Amerika Syarikat, politik kaum dan agama memainkan peranan. Begitu juga di Eropah terutama selepas proses migrasi dari negara-negara lain.

Apa yang tidak bersetuju adalah pihak yang mengeksploitasikan agama kaum keturunan soal identiti, eksploiasi yang sedemikian rupa kita menganggap sebagai masalah. Tetapi kewujudan perasaan identiti itu tidak menjadi masalah. soalnya bagaimana cara kita menanganinya dan menguruskannya.

Adakah Dr melihat ada prospek untuk kestabilan politik Malaysia selepas apa yang terjadi?

Pada saya ada dua syarat kalau kita mahu wujudkan kestabilan politik. Pertama, pemimpin-pemimpin bukan saja kerajaan, semua pemimpin termasuk kita dalam bidang-bidang tertentu yang diberi sedikit peranan, yang penting kita mesti beramanah, tak kira apa tugas kita. Lakukan sesuatu yang betul mengikut tanggungjawab yang diberikan kepada kita.

Sebagai contoh, 1MDB (1Malaysia Development Bhd). Kalau kita tengok perbicaraan, jika setiap individu amanah, mungkin tak berlaku ke 1MDB. Tetapi ada pihak-pihak tertentu - swasta dan sektor awam yang tidak menjalankan tugas mereka dan tidak berpegang pada amanah.

Kedua, Malaysia yang sudah lebih 62 tahun merdeka dan mewujudkan sistem pemerintahan yang teratur, kita mestilah sanggup mematuhi segala proses dan prosedur dan dalam masa yang sama memberi keutamaan kepada tugas kita yang berkaitan kepentingan orang ramai. Kalau kita amanah, kita tak perlu takut masa depan kita.

Wawancara Dr Chandara bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang Berita, Zuki Pileh.
Wawancara Dr Chandara bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang Berita, Zuki Pileh.

Apabila Muhyiddin tiba-tiba diperkenankan Agong untuk menjadi PM8, adakah Dr Melihat Muhyiddin mendapat apa yang dipanggil rezeki terpijak atau beliau sebenarnya diberi tanggungjawab yang tidak boleh dielak?

Ada pihak mengatakan Muhyiddin merancang kerana kononnya dari dulu beliau memang mahu menjadi Perdana Menteri. Saya kurang yakin dengan hujah itu kerana saya tidak nampak tanda-tanda beliau merancang dari awal. Mungkin kerana beliau nampak peluang atau mungkin ada pihak lain yang meyakinkan beliau supaya membantu menyelamatkan keadaan.

Tetapi bagi saya, Muhyidin bukanlah isu utama. Beliau adalah individu yang muncul kerana keadaan. Yang menjadi cabaran apakah yang akan dilakukan beliau bermula dari sekarang? Siapa individu yang beliau pilih untuk menganggotai Kabinet, pendekatan beliau terhadap kes-kes mahkamah, dan lebih penting bagaimana cara beliau mengatasi masalah ekonomi. Soal tetang pertumbuhan ekonomi, tentang pembahagian kekayaan negara, pengangguran. Begitu juga soal integriti, demokrasi dan kebebasan, perpaduan kaum.

Apa pesanan Dr kepada Perdana Menteri kelapan yang baru dilantik?

Sama macam nasihat tadi, berpegang pada amanah, jangan menyeleweng dan jangan hanya tunduk kepada pihak tertentu. Bermakna mementingkan amanah lebih daripada kepentingan lain - kepentingan politik, sendiri, kedudukan, kawan-kawan, keluarga dan sebagainya. Itu memang kelemahan-kelemahan manusia di mana-mana saja. Itu nasihat saya sebagai insan biasa dan warganegara biasa.

Saya berharap beliau akan baca warkah yang ditulis oleh Saidina Ali bin Abi Talib, khalifah Islam yang keempat kepada Malik Astar, gabenor yang dilantik oleh Ali. Warkahnya itu mengandungi nasihat yang begitu bernas. Memang Tan Sri Muhyiddin satu kelebihannya ialah latar belakang keagamaannya. Beliau tentu sedar akan dokumen-dokumen sedemikian.

Akhir sekali apa yang Dr boleh simpulkan tentang takdir dalam konteks kuasa dan politik ini?

Takdir... Sebagai ahli sains politik saya nampak walaupun politik dianggap sebagai sains, ada banyak perkara dalam politik itu yang kita tidak boleh ramal. Sesuatu itu mungkin berlaku kerana takdir. Walaupun ada banyak nama yang disebut sebagai bakal Perdana Menteri, tak ramai menyebut nama Muhyiddin. Tetapi akhirnya Muhyiddin yang dipilih menjadi Perdana Menteri. Itulah takdir.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus