Johor perkasa inisiatif perumahan mampu milik, bantu B40 luar bandar

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memperkenalkan dua inisiatif bagi memperkasakan agenda perumahan mampu milik khususnya untuk rakyat berpendapatan rendah di kawasan luar bandar, iaitu Rumah Prihatin Johor (RPJ) dan Rumah Kasih Johor (RKJ).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek perumahan RPJ yang akan bermula pada 2025 merupakan pelengkap kepada keperluan kumpulan B40 di luar bandar yang tidak tersenarai dalam e-Kasih.
“Rumah Prihatin Johor direka khas untuk rakyat Johor yang memiliki tanah sendiri tetapi tidak mampu memiliki rumah. Setiap unit berharga RM86,000 dengan subsidi RM30,000 ditanggung kerajaan, manakala penerima hanya perlu membayar RM56,000.
"Projek perintis rumah prihatin ini melibatkan 20 unit masing-masing di daerah Kulai dan Kluang. Pelaksanaannya akan diperluaskan ke daerah lain berdasarkan kejayaan projek awal itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Sedili (BN-Muszaide Makmor) dan ADUN Senggarang (BN-Mohd Yusla Ismail) berhubung usaha kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan untuk golongan B40 luar bandar.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RKJ yang diperkenalkan sebelum ini merupakan program bantuan pembinaan rumah baharu secara percuma kepada golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.
“Program ini menekankan kesejahteraan rakyat dengan memastikan mereka yang benar-benar memerlukan kediaman asas yang selesa dan selamat tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
“Setakat tahun 2023, sebanyak 50 unit sudah siap dan diserahkan. Bagi 2024, 120 unit masih dalam pembinaan, manakala 165 unit lagi dirancang untuk 2025, dan jumlah yang sama pada 2026, menjadikan sasaran keseluruhan 500 unit menjelang hujung 2026," ujarnya.
Sementara itu, menjawab isu kekurangan rumah mampu milik di beberapa kawasan, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri telah menggerakkan Task Force Perumahan melibatkan semua 10 daerah bagi mengenal pasti tapak berpotensi untuk pembangunan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
“Antara kawasan tersebut ialah Bentayan, Bekok, Kempas, Johor Lama, Sedili, Pasir Raja dan Endau.
"Sehingga suku pertama 2025, sebanyak 16,845 unit Rumah Mampu Milik Johor telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC). Kerajaan negeri menyasarkan penyediaan 30,000 unit menjelang 2026 serta tambahan 70,000 unit lagi menjelang 2030," ujarnya.
Tambahnya, bagi daerah Segamat khususnya, sebanyak 296 unit RMMJ telah mendapat CCC, 342 unit sedang dalam pembinaan, dan 462 unit lagi dalam perancangan akan datang.
“Katanya, antara pembangunan terbaharu ialah projek Residensi Bangsa Johor (RsBJ) di Mukim Chaah yang melibatkan 122 unit Rumah Mampu Milik Johor dan 14 unit kedai kos sederhana.
"Kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi kekal komited dalam memastikan rakyat memiliki kediaman berkualiti dengan harga mampu milik, sejajar dengan agenda ‘Maju Johor 2030’," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!