Kes pelakon pukul kekasih diklasifikasikan NFA

PETALING JAYA – Kes melibatkan seorang pelakon tempatan yang didakwa memukul kekasihnya dalam kejadian di Ara Damansara pada 7 April lalu telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya telah menerima arahan NFA daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes tersebut.
“Sebelum ini, kertas siasatan melibatkan kes ini telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Susulan itu, pihak kami telah menerima arahan NFA berhubung kes terbabit,” katanya pada Ahad.
Sinar Harian pada 23 April lalu melaporkan bahawa pihak polis akan memanggil pelakon terbabit yang didakwa memukul kekasihnya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan dibuat oleh wanita itu pada 7 April, yang mendakwa telah dipukul di bahagian muka dan badan oleh teman lelakinya menggunakan tangan.
Jelas beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Hussein berkata, siasatan turut mendapati mangsa pernah membuat laporan polis pada tahun lalu atas kejadian sama oleh suspek, namun mangsa kemudiannya menarik semula laporan yang dibuat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!