Pelakon didakwa pukul kekasih akan dipanggil dalam masa terdekat

SHAH ALAM - Seorang pelakon lelaki yang dikaitkan dengan kes pukul kekasih hingga cedera di Ara Damansara, Petaling Jaya, akan dipanggil dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan dibuat wanita itu pada 7 April yang mendakwa dipukul di bahagian muka dan badan oleh teman lelakinya menggunakan tangan.
"Kes ini telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Polis akan memanggil suspek (pelakon) terbabit dalam masa terdekat untuk kita melengkapkan proses siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.
Beliau berkata, berdasarkan semakan, mangsa ini pernah buat laporan pada tahun lepas, namun laporan berkenaan ditarik balik olehnya (mangsa).
Jelasnya, ini merupakan kejadian kedua berlaku terhadap mangsa.
Baru-baru ini media melaporkan, mangsa turut memuat naik gambar kecederaan dialaminya di laman sosial Instagramnya.
Dia turut berkongsi gambar kecederaan di bahagian mata dan badan yang didakwa dilakukan aktor bertubuh sasa terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!