Remaja hilang ketika mandi lombong ditemui lemas

GOPENG - Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di sebuah lombong di Jalan Kilang Simen, Kota Bharu di sini pada Sabtu ditemui lemas.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Fazrul Qusry Ahmad Asmawi, 18, dikatakan memancing bersama rakannya telah turun dari bot untuk mandi.
Difahamkan mangsa cuba berenang untuk menyeberangi lombong sebelum disedari hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Sharudi Muhamad Halil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sebaik menerima maklumat kejadian itu pada jam 6.49 petang.

"Mangsa merupakan anak saudara kepada salah seorang anggota BBP Gopeng. Operasi secara berkala dilakukan menggunakan kaedah pencari permukaan dengan menggunakan bot.
"Bagaimanapun, usaha itu ditangguhkan pada jam 11.15 malam berikutan keadaan cuaca yang gelap," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurut beliau, mayat mangsa berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada hari kedua operasi.
"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang membuat selaman pada jam 9.28 pagi berjaya menemui mangsa kira-kira 12 minit kemudian pada jarak 4.5 meter di kedalaman antara tiga hingga tujuh meter.

"Mayat mangsa dibawa ke tebing dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Katanya, seramai 16 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dan dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
