Kanak-kanak Rohingya hilang dihanyutkan air longkang ditemui lemas

AMPANG JAYA – Kanak-kanak perempuan warga Rohingya berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di hadapan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kampung Cheras Baru, ditemui lemas pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa ditemui di Sungai Kerayong, Taman Cheras Indah.
“Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 11.20 pagi dengan jarak dari lokasi mangsa terjatuh dianggarkan sekitar enam kilometer.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa mangsa dihanyutkan arus deras air longkang di hadapan Dewan MPAJ, Kampung Cheras Baru, pada Isnin.
Mohd Azam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 6.07 petang menerusi Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Menurut beliau, sebaik menerima laporan, anggota polis dan bomba telah digerakkan ke lokasi kejadian dan dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak perempuan terjatuh ke dalam longkang berkenaan.
Ujar beliau, seorang daripada kanak-kanak itu yang berusia 11 tahun dan juga warga Rohingya berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

