Parlimen boleh selesaikan isu PM

A
A
A

APABILA seseorang Ahli Parlimen Malaysia mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong maka sahlah dia menjadi Perdana Menteri.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri adalah di luar pertikaian kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

Perkara 43(2) menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Maksudnya Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang ahli Dewan Rakyat menjadi Perdana Menteri kalau pada pendapatnya orang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan. Tidak perlu bukti atau akuan bersumpah (SD).

Yang berbeza dulu dan sekarang ialah keadaan di mana pelantikan Perdana Menteri berlaku. Sebelum ini isu kecukupan sokongan dalam Dewan Rakyat tidak pernah timbul kerana calon Perdana Menteri mempunyai majoriti yang jelas.

Juga, sebelum ini tidak pernah berlaku "rampasan kuasa" di pertengahan penggal seperti yang terjadi pada 23 Februari sehinggalah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan Tun Dr Mahathir Mohamad tersingkir daripada jawatan Perdana Menteri pada hari berikutnya.

Sehinggalah sekarang, isu sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat tidak relevan dan tidak pernah terlintas di fikiran sesiapa pun.

Ini ialah kerana setiap calon Perdana Menteri, termasuk daripada Pakatan Harapan, mempunyai majoriti yang jelas apabila keputusan pilihan raya diumumkan.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei 2018, Dr Mahathir melalui PH dan parti-parti yang bersekutu dengannya memperoleh 121 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Begitu juga dengan Perdana Menteri-Perdana Menteri lain. Mereka mempunyai majoriti jelas selepas PRU kecuali Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 1969.

Tetapi sekarang, isu kecukupan majoriti menjadi perkara pokok kerana Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri hampir dua tahun selepas PRU tanpa diumumkan sokongan sebenar yang beliau peroleh daripada ahli Dewan Rakyat.

Sebaliknya, Dr Mahathir mengisytiharkan secara terbuka yang beliau mendapat kepercayaan 114 ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya dengan menandatangani Akuan Berkanun (Statutory Declaration).

Dakwaan Dr Mahathir itu sekadar teknikal kerana seperti yang beliau beritahu media massa, permohonannya kepada Istana Negara untuk mempersembahkan hal itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, tidak mendapat jawapan.

Namun begitu, kemelut ini boleh diatasi dengan mudah melalui proses Parlimen, iaitu dengan salah seorang penyokong Muhyiddin mengemukakan usul undi percaya terhadap beliau.

Maksudnya, pengesahan pelantikan Muhyiddin diserahkan kepada ahli Dewan Rakyat. Melalui usul itu mereka boleh mengundi menyokong atau tidak menyokong pelantikan beliau.

Malangnya, bukan sahaja proses demokrasi Parlimen ini tidak dilaksanakan malah sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ditunda kepada 18 Mei.

Dengan itu, bukan sahaja proses demokrasi tergantung malah kedudukan Perdana Menteri terus menjadi bahan perbahasan.

Penangguhan Parlimen yang begitu lama tentulah mencetuskan kehairanan umum kerana dalam keadaan genting seperti sekarang, peranan Parlimen amat penting bagi memperkukuhkan kedudukan Perdana Menteri.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara