Lambakan makanan tamat tempoh angkara AS

Bekalan makanan yang menghampiri tarikh luput itu terpaksa dimusnahkan. - Foto: Agensi
Bekalan makanan yang menghampiri tarikh luput itu terpaksa dimusnahkan. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Stok makanan yang terperuk di gudang dan boleh disalurkan kepada kira-kira 3.5 juta orang selama sebulan semakin menghampiri tarikh luput setelah Amerika Syarikat (AS) memotong bantuan kepada agensi antarabangsa pada Januari lalu.

Bekas staf di Agensi AS untuk Pembangunan Antarabangsa (USAID) mendedahkan lambakan bekalan makanan itu mungkin terpaksa dimusnahkan melalui kaedah pembakaran atau dijadikan sumber makanan haiwan.

"Tarikh luput sebahagian makanan itu adalah pada Julai depan. Gudang dikendalikan Biro untuk Bantuan Kemanusiaan (BHA) itu menyimpan antara 60,000 dan 66,000 tan bekalan makanan keluaran Amerika," jelas sumber tersebut lagi.

Menurutnya, senarai inventori untuk gudang di Djibouti, Afrika Selatan, Dubai dan Houston juga mengandungi lebih 66,000 tan komoditi termasuk biskut bertenaga tinggi, minyak sayuran dan bijirin diperkaya.

"Bantuan itu bernilai lebih AS$98 juta (RM421 juta) dan ia boleh menjadi sumber makanan kepada lebih sejuta orang untuk tempoh tiga bulan atau seluruh populasi Gaza selama 45 hari," menurut analisis Reuters menggunakan data Program Makanan Sedunia (WFP). - Agensi

Info

>Menurut data WFP, kira-kira 343 juta penduduk seluruh dunia berdepan tahap ketidakjaminan makanan yang teruk. Kira-kira 1.9 juta orang daripada angka itu dirundung kelaparan dan berada di ambang kebuluran. Sebahagian besar daripada mereka adalah penduduk di Gaza dan Sudan serta Selatan Sudan, Haiti dan Mali.

>Satu tan makanan biasanya mengandungi bijirin, kekacang dan minyak yang boleh memenuhi keperluan kira-kira 1,600 orang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!