Pengadil liga amatur dakwa dibelasah bekas pemain kebangsaan

SHAH ALAM - Seorang pengadil meluahkan rasa kesal dan kecewa selepas mendakwa dibelasah oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan yang tidak berpuas hati semasa mengendalikan perlawanan liga amatur di Taman Ekuestrian, Presint 5, Putrajaya.
Dalam kejadian pada 27 April lalu, mangsa yang dikenali sebagai Safwan, 33, berkata, insiden berlaku kira-kira jam 7 petang.
Menurut Safwan, ketika itu beliau ditugaskan sebagai pengadil utama bagi perlawanan liga sosial membabitkan dua pasukan.
"Ketika perlawanan sedang berlangsung, seorang daripada pemain salah satu pasukan itu telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya sebelum perlawanan dihentikan seketika dan kad merah dilayangkan kepadanya.
"Namun, saya ditampar sebelum beberapa orang pemain pasukan itu menyerang dan menolak saya hingga terjatuh.
"Ketika jatuh, kepala saya dipijak beberapa kali oleh seorang pemain pasukan itu yang juga merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.
Tambah eksekutif akaun sebuah syarikat hartanah itu, kejadian berkenaan turut disaksikan pembantu pengadil serta pemain pasukan lawan yang juga disertai bekas pemain kebangsaan.
Jelasnya, perlawanan tersebut telah dihentikan sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
"Saya sudah beri keterangan kepada pihak polis. Muka dan tangan kiri saya cedera dan pemeriksaan di hospital juga telah dibuat," ujarnya.
Kata Safwan lagi, insiden itu menyebabkan beliau berasa sangat kecewa, lebih-lebih lagi apabila anak dan isterinya sendiri menyaksikan kejadian tersebut.
"Saya kecewa. Walaupun marah, usah bertindak sedemikian. Saya dipijak di kepala — itu maruah saya. Sepatutnya bekas pemain profesional seperti beliau menunjukkan contoh yang baik," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
