Jumlah pelancong China ke Pulau Pinang meningkat

Hon Wai
Hon Wai
A
A
A

GEORGE TOWN - Jumlah pelancong dari tanah besar China yang melawat Pulau Pinang meningkat sebanyak 218.86 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, China merupakan antara pasaran pelancongan penting bagi Pulau Pinang.

“Peningkatan jumlah pelancong dari China ke Pulau Pinang adalah hasil daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti penambahan penerbangan terus antara bandar utama di China serta promosi agresif melalui platform digital,” katanya.

Hon Wai (DAP–Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Ah Teong (DAP–Batu Lancang) mengenai strategi dan pencapaian kerajaan negeri dalam menerokai pasaran pelancongan dari China.

Beliau menambah, jumlah ketibaan dari China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ialah seramai 120,245 penumpang pada tahun 2024 berbanding 37,711 penumpang pada 2023.

Katanya, ia merupakan peningkatan ketara berbanding hanya 5,918 penumpang pada 2022.

“Ia membuktikan bahawa China terus menjadi pasaran pelancongan utama bagi negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, terdapat tujuh penerbangan terus baharu dari China ke Pulau Pinang antara Ogos 2023 hingga April tahun ini melibatkan syarikat penerbangan seperti Xiamen Airlines, Juneyao Airlines, Shenzhen Airlines, Shanghai Airlines, AirAsia, Hong Kong Express, dan Sichuan Airlines.

“Terdapat juga beberapa penerbangan sewa khas dari China bagi memenuhi permintaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita menggunakan pelbagai kaedah promosi seperti menyertai pameran pelancongan di China, mengiklankan di platform dalam talian yang popular serta bekerjasama dengan ejen pelancongan dan syarikat penerbangan dalam talian untuk menawarkan pakej menarik,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menganjurkan lawatan pengenalan (familiarisation trip) untuk ejen pelancongan, media dan pempengaruh dari China, khusus bagi mempromosikan lokasi seperti George Town, Balik Pulau, Bukit Bendera dan Seberang Perai.

“Platform media sosial Xiaohongshu (Little Red Book) turut digunakan secara aktif untuk menarik minat pelancong muda dan komuniti berbahasa Mandarin, dengan kandungan tular yang menonjolkan makanan jalanan, seni bina warisan dan lokasi bergambar popular di negeri ini.

“Kita juga telah memperkenalkan produk pelancongan baharu yang menarik seperti pakej pelancongan kebaya, di mana pelancong datang ke sini untuk memakai kebaya sambil melawat tempat-tempat pelancongan terkenal, serta pelancongan durian untuk pelawat dari China yang menggemari buah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited dalam memperkukuh sektor pelancongan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama pelancong antarabangsa, khususnya dari China.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!