Teruskan legasi jadi warga pendidik

SEREMBAN - Seorang guru berbangga apabila dapat menunaikan hajat ibu bapa meneruskan legasi dalam dunia pendidikan.
Menurut Khairunnisa Shamsuddin, 39, sebagai anak sulung daripada empat beradik, beliau cuba memenuhi impian ibu bapanya yang berharap salah seorang daripada anak-anak mengikut jejak langkah mereka.

Guru Sekolah Kebangsaan Yamtuan Hitam itu berkata, minatnya lebih terdorong dalam bidang kejuruteraan namun tidak sesekali membantah ketika ibu bapanya membantu mengisi borang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.
“Mahu melihat saya menjadi cikgu ini bukan hanya impian mak ayah malah datuk serta serta ibu bapa saudara juga turut memberi galakan.
“Sebagai anak yang taat, saya tiada bantahan menunaikan hasrat tersebut. Saya membesar dalam keluarga guru, saya lihat karier itu menyeronokkan dan beri inspirasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Guru Bahasa Inggeris dan Sejarah itu juga berkata, selain kedua-dua ibu bapanya, seorang ibu saudara serta beberapa saudara maranya yang lain turut menceburi bidang sama.
Katanya, antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah ketika di awal kerjaya, apabila sempat meraikan Hari Guru bersama ibu bapa sebelum mereka bersara.
“Mak ayah selalu menunjukkan sisi baik sebagai seorang guru walaupun mereka selalu nampak sibuk dan tegas tapi saya lihat kerjaya guru menyeronokkan.
“Saya pernah melihat ayah bertugas di kem perkhemahan pengakap, dan ketika ibu menjadi jurulatih bola jaring.
“Walaupun sudah pencen, mereka sering menjadi tempat rujukan saya setiap kali berdepan masalah dalam kerjaya terutama dalam meningkatkan prestasi akademik murid,” katanya.
Ujar beliau, antara cabaran sebagai warga pendidik pada masa kini ialah tahap pemikiran dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) anak-anak yang semakin terbuka kerana kemudahan akses maklumat di hujung jari.
“Kadangkala mereka bertanya soalan di luar kotak dan kita tidak boleh untuk menjawab sembarangan. Biasanya saya jawab akan semak dahulu dan merujuk guru lebih pakar.
“Berkaitan masalah disiplin pula, saya tidak menghadapi banyak masalah kerana mengajar sekolah rendah yang kita layan mereka seperti melayan anak-anak di rumah,” katanya.
Bagi Khairunnisa, melihat anak-anak didik berjaya dalam pembelajaran selain gembira melihat bekas pelajar ibu bapanya yang tidak kekok bertegur sapa di luar merupakan detik menyeronokkan.
Katanya, sekali bergelar pendidik, selama-lamanya murid akan memanggilnya guru dan situasi itu berlaku kepada ibu bapanya setiap kali terserempak dengan bekas pelajar.
“Guru merupakan kerjaya mulia, bagi saya ia merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas untuk membentuk generasi masa depan.
“Tidak dinafikan adakala tertekan tapi saya seorang yang berfikiran positif. Apabila rasa letih atau berdepan masalah, saya akan fikir semula niat menceburi bidang guru.
“Setiap pagi sebelum ke sekolah saya selalu berdoa supaya urusan sebagai guru dipermudahkan, bila ada masa lapang saya ambil masa bercuti atau berjumpa kawan untuk memenangkan fikiran. Sokongan daripada keluarga juga penting,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

