Wabak campak mengganas, penggera buat dunia

Virus campak boleh menyebabkan radang paru-paru dan jangkitan lain.
Virus campak boleh menyebabkan radang paru-paru dan jangkitan lain.
A
A
A

WASHINGTON - Penyakit paling mudah berjangkit kembali 'mengganas' pada kadar membimbangkan.

Amerika Syarikat (AS) melaporkan 1,001 kes campak dan tiga kematian melibatkan kanak-kanak sehingga 9 Mei lalu yang menyaksikan peningkatan dramatik daripada 285 kes dan sifar kematian pada 2024.

Majoriti kes berpunca daripada epidemik di Texas dengan lebih 700 kes dilaporkan sehingga awal bulan lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah mengisytiharkan negara itu bebas wabak campak pada tahun 2000, namun Washington berisiko kehilangan status itu pada 2026 jika trend penyakit itu tidak terkawal.

Kes campak turut meningkat di rantau Eropah dengan hampir 6,000 kes direkodkan Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada tahun ini.

Selain itu, sebanyak 2,584 kes campak dilaporkan di rantau Pasifik Barat WHO dalam tempoh tiga bulan pertama 2025 iaitu 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Daripada tujuh negara di Asia Tenggara dalam kumpulan itu, penularan berterusan direkodkan di Kemboja, Laos, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Brunei dan Singapura masing-masing telah menghapuskan wabak itu pada 2015 dan 2018.

Artikel Berkaitan:

Profesional kesihatan awam menyifatkan campak sebagai 'penggera awal' kerana ia mudah merebak melalui seorang individu kepada 12 hingga 18 orang lain iaitu dua kali ganda lebih berjangkit daripada cacar air dan risiko kadar jangkitan lebih tinggi berbanding Covid-19 atau influenza.

Kadar vaksinasi di seluruh dunia didakwa semakin menurun sejak 20 tahun lalu.
Kadar vaksinasi di seluruh dunia didakwa semakin menurun sejak 20 tahun lalu.

Majoriti kanak-kanak dijangkiti

Di AS, kira-kira 30 peratus kes melibatkan kanak-kanak di bawah usia lima tahun dengan satu daripada empat individu dalam golongan itu perlu dirawat di hospital.

WHO menganggarkan lebih 100,000 individu yang sebahagian besarnya adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia akibat campak pada 2023.

Di negara berpendapatan tinggi seperti Washington, kadar kematian disebabkan campak adalah kira-kira satu daripada 1,000 kes.

Kebanyakan kematian itu bagaimanapun boleh dicegah dengan pemberian vaksin efektif yang sudah tersedia sejak 1963.

Penggunaan pelbagai jenis vaksin campak telah menyelamatkan kira-kira 94 juta nyawa sejak lebih separuh abad lalu.

Gabungan faktor berbahaya sebahagian besarnya berpunca daripada legasi pandemik Covid-19 yang banyak membawa impak negatif telah meningkatkan lagi penularan virus campak.

Membalikkan trend ini memerlukan lonjakan kadar vaksinasi komuniti.

Kajian pada bulan lalu mendapati meningkatkan kadar imunisasi sebanyak lima peratus dapat mengurangkan antara 3,000 dan 19,000 kes dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Satu lagi model epidemiologi yang menganggarkan penularan campak menyatakan tindakan segera agensi kesihatan berkaitan dapat mengekang penyebarannya selagi 85 peratus populasi diberi inokulasi. - Agensi

Info

>Di peringkat global, wabak campak telah meningkat di AS, Kanada, Mexico, Amerika Selatan dan Eropah. Pada 2025, Amerika Selatan dan Amerika Utara menyaksikan lonjakan kes sebanyak 11 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Di Eropah pula, kadar kes campak mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 25 tahun.

>WHO isytiharkan Amerika Selatan dan Amerika Utara berisiko tinggi untuk penularan campak.

>Pada 1912, kira-kira tiga hingga empat juta kes dan 6,000 kematian direkodkan akibat campak di AS.

>Sejak dua dekad lalu, kadar vaksinasi semakin menurun di seluruh dunia. Pakar bimbang campak berkemungkinan menjadi jangkitan lazim sekali lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!