Cerai ketika 'live': Talak tidak boleh dipermainkan, dijadikan 'content'

Pasangan pempengaruh dan usahawan dilapor bercerai buat kali kedua awal pagi Khamis. Gambar kecil: Da'i Tajdid Hadhari dan PU Syed
Pasangan pempengaruh dan usahawan dilapor bercerai buat kali kedua awal pagi Khamis. Gambar kecil: Da'i Tajdid Hadhari dan PU Syed
A
A
A

SHAH ALAM - Pasangan pempengaruh dan usahawan yang tular kerana bercerai ketika siaran langsung di media sosial sudah tidak boleh lagi merujuk sebagai suami isteri sekiranya talak kali ketiga yang dilafazkan disahkan mahkamah.

Pendakwah Bebas, PU Syed menjelaskan, dalam kes berkenaan, pasangan tersebut perlu merujuk kepada pihak mahkamah berhubung perceraian mereka terlebih dahulu.

Menurutnya, jika perceraian tersebut sah, maka tiga talak sudah dijatuhkan berikutan mereka juga pernah berpisah sebelum ini.

"Difahamkan mereka telah bercerai sebelum ini dan kali ini lafaz kedua talak diberikan. Ia telah mencukupkan kepada tiga kali kuota talak, maka talak ini disebut talak bain kubro.

"Bagi kes ini, jika sah talak, mereka tidak boleh lagi rujuk sehinggalah isterinya bernikah dengan suami yang lain.

"Syarat berkahwin lain, suami yang baru itu mestilah pernah 'bersama' dengan isteri tersebut lalu mereka bercerai. Kemudian barulah isteri boleh berkahwin semula dengan bekas suami.

"Jangan upah pak turut atau 'cina buta', pernikahan tersebut tidak sah," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Khamis.

Pasangan pempengaruh dan usahawan Siti Jamumall atau nama penuhnya Siti Suriani Wahiddin dilapor bercerai buat kali kedua awal pagi Khamis.

Lafaz cerai tersebut dibuat suaminya ketika siaran langsung TikTok di akaun @Sitijamumall sehingga menjadi tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, rakaman menunjukkan pertengkaran antara pasangan terbabit sebelum lafaz talak diucapkan.

Selepas lafaz tersebut, Siti Jamumall kelihatan terkejut dan sebak, sebelum ditenangkan oleh dua individu lain yang berada bersamanya.

Dalam pada itu, PU Syed dalam hantaran yang sama turut menasihatkan pasangan suami isteri agar tidak mempermainkan talak dan cerai, termasuk menjadikannya sebagai 'content' untuk meraih perhatian.

"Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh, salah satunya adalah cerai.

"Walaupun kita bergurau dengan isteri, jatuh talak juga," jelas beliau.

Sementara itu, penyampai radio Zayan, Da'i Tajdid Hadhari menegaskan, lafaz talak tidak sepatutnya dibuat secara semberono kerana Islam menekankan pentingnya ilmu agama dan sabar dalam apa jua situasi.

"Pempengaruh diceraikan suaminya. Pertama kali talak satu, kemudian dua, maka lengkap talak tiga.

"Talak jangan dilafazkan dengan perasaan sehingga talak tiga atau talak dua sekali gus. Sebenarnya, satu talak sudah cukup. (Cukup) sekadar satu dahulu.

"Talak mestilah dijatuhkan ketika isteri sedang suci. Menurut Imam al-Ghazali, adab pertama bercerai adalah menjatuhkan talak sewaktu isteri suci," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!