Jamuan makan sambil menderma bina asrama maahad

KOTA BHARU - Pengurusan Kompleks Maahad Anwar Al Bayan (MAAB) Kampung Lubuk Bunut Kemuning, Machang menganjurkan Jamuan Makan Sambil Menderma bagi menambah dana bertujuan melengkapkan infrastruktur Fasa 1 di sekolah berkenaan.
Pengurus kompleks maahad berkenaan, Arman Awang berkata, sebanyak RM160,000 diperlukan bagi menyiapkan asrama pelajar mengikut garis panduan keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mendapatkan sijil kebenaran menduduki serta berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Beliau memberitahu, jamuan makan sambil menderma pada Sabtu, 24 Mei 2025 bermula jam 10.30 pagi hingga selesai.
"Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menyertai jamuan ini bagi mengumpul lebih banyak dana untuk menyiapkan asrama," katanya.
Beliau memberitahu, kompleks berkenaan bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelajar termasuk asrama, masjid, kantin, sekolah tahfiz, pondok dan kelas, rumah guru serta pondok orang tua.
Jelas beliau, kompleks Maahad Anwar Al Bayan merupakan kompleks pengajian berkonsep pondok khusus untuk pelajar perempuan.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi pengurusan kompleks melalui telefon 01120613496 atau menyalurkannya ke akaun Maybank 553056414252 atau CIMB Bank bernombor 8603038853 atas nama Maahad Anwar Al Bayan itu.
"Kami berharap lebih ramai individu atau syarikat korporat mahu berkongsi rezeki bagi membantu ramai pelajar mendapat pendidikan agama yang lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!