Nahas FRU: Punca kematian disahkan, PDRM tubuh jawatankuasa khas siasat insiden

IPOH - Bedah siasat ke atas sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Teluk Intan, Selasa lalu mengesahkan semua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pelbagai akibat pelanggaran jalan raya.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Teluk Intan mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah kesan langsung daripada pelanggaran dalam insiden tersebut.
"Pihak hospital yang menjalankan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan multiple injuries due to road traffic collision," katanya kepada Sinar Harian.
Kejadian jam 8.51 pagi di Jalan Chikus-Sungai Lampam itu berlaku ketika trak dinaiki 18 anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil yang masuk ke laluan bertentangan.
Pelanggaran mengakibatkan sembilan anggota FRU meninggal dunia, manakala sembilan lagi cedera dengan sebahagiannya parah.
Semasa kejadian, kenderaan terlibat dalam perjalanan pulang ke Ipoh bersama enam kenderaan FRU yang lain selepas selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.
Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, siasatan kes yang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dilakukan secara menyeluruh melibatkan beberapa agensi bagi memastikan punca sebenar kemalangan dikenal pasti.
Katanya, ia termasuklah mendapatkan kerjasama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) bagi membantu siasatan khususnya daripada aspek teknikal.
"PDRM juga akan menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Khas atau Court of Enquiry (CE).
"Penubuhan jawatankuasa ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) PDRM sekiranya berlaku kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa atau membabitkan aset kerajaan," katanya.
Tambah beliau, pihak polis juga akan mendapatkan keterangan daripada semua individu yang berada di lokasi kejadian termasuk anggota FRU yang terselamat dalam nahas tersebut.
"Keterangan daripada mangsa yang terselamat penting bagi melengkapkan siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!